Jokowi tak pernah ucap 'I Love You' pada isteri

Astro Awani
Disember 13, 2018 13:54 MYT
Jokowi dan Iriana berkongsi kisah hubungan mereka di sebalik imej rasmi sebagai ketua negara. - Bernama
PADA 24 Disember ini, genap 32 tahun ulang tahun perkahwinan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan isternya, Iriana Widodo.
Selama lebih tiga dekad hidup sebagai suami isteri, pasangan yang sangat disayangi dan dihormati oleh rakyat Indonesia itu seperti juga orang lain melalui kehidupan yang sama.
Namun, sebagai orang nombor satu di negara yang dihuni oleh lebih 264 juta penduduk, tidak semua orang mengetahui bagaimana kehidupan sebenar Jokowi dan Iriana.
Bagaimana karakter Jokowi di rumah? Sejauh mana cemburunya Iriana pada suaminya yang cukup popular itu? Dan apa pula panggilan manja antara Jokowi dan Iriana?
Ternyata, di sebalik wajah redup Presiden ketujuh Indonesia itu, dalam diri beliau sebetulnya memiliki nilai-nilai romantis.
Bahkan, panggilan Yang (singkatan sayang) buat isteri tercinta juga sudah cukup menggambarkan rasa kasih dan sayang beliau pada wanita yang setia mendampinginya di saat susah dan senang.
Rahsia kebahagiaan rumah tangga yang dibina atas dasar kasih dan cinta itu didedahkan oleh Jokowi dan Iriana dalam program Mata Najwa yang disiarkan di saluran televisyen Trans7, Indonesia pada Rabu.
Dalam program yang dikendalikan oleh selebriti ternama Najwa Shihab itu, Jokowi dan Iriana memberikan temu bual eksklusif yang diadakan di kediaman mereka.
Sekalipun nampak malu-malu dalam temu bual itu, namun baik Jokowi mahupun Iriana berkongsi momen romantis mereka.
Menurut Jokowi, perkenalan mereka melalui rakan adiknya dan pada pertemuan pertama itu, beliau sudah mula jatuh hati pada Iriana.
"Kami berkawan selama empat tahun sebelum berkahwin," dedah Jokowi.
Diusik oleh Najwa dengan soalan apakah beliau pernah mempunyai kekasih lain sebelum berkasih dengan Iriana, Jokowi membalas usikan itu dalam nada berseroloh: "Tidak ada mantan. Kalau ada yang mengaku merasa mantan saya tak tahu."
Ketika ditanya kepada Iriana apakah panggilan manja buat suaminya pula, Wanita Pertama Indonesia itu memberitahu, beliau menyapa Jokowi dengan panggilan 'Mas' sementara Jokowi pula memanggil Iriana, 'Yang' (sayang).
Dalam menzahirkan rasa cinta, baik Jokowi dan Iriana, mereka lebih selesa menunjukkannya dalam perbuatan bukannya dalam ucapan atau pemberian hadiah berharga.
Bahkan, Jokowi juga secara terbuka berkata, beliau tidak pernah mengungkapkan ucapan 'I Love You' pada isterinya.
Menurut bekas Gabenor Jakarta itu, beliau dan isterinya tidak mengamalkan konsep bertukar hadiah dan menyambut sama ada hari ulang tahun kelahiran atau ulang tahun perkahwinan.
"Kami lebih selesa mendoakan kebahagiaan dalam kehidupan," kata pasangan itu.
Bergelar isteri kepada Presiden Indonesia, jelas Iriana, bukanlah kelebihan untuk beliau mengambil tahu serba-serbi mengenai pentadbiran negara.
Sejujurnya, ibu kepada tiga anak itu berkata, beliau tidak pernah campur tangan dalam segala urusan kerja suaminya itu dan perkara itu menjadi prinsipnya sejak awal perkahwinan mereka lagi.
Jokowi sendiri mengakui isterinya begitu menghormati kerjayanya sebagai presiden kepada penduduk Indonesia.
"Beliau (Iriana) tidak pernah sama sekali mempengaruhi apa saja keputusan saya, melainkan hal-hal yang melibatkan urusan rumah tangga. Kalau soal kerja tidak pernah sama sekali," tegas Jokowi.
#cinta #Iriana #Jokowi #Mata Najwa #Najwa Shihab #Presiden Indonesia #Rumah Tangga
;