Jika di Terengganu Drawbridge, warga kota pula pilih Putrajaya untuk berbuka puasa

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 22, 2019 08:12 MYT
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati rata-rata orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut seawal jam 4.30 petang untuk membeli juadah berbuka serta kelengkapan awal sebagai persediaan hari raya. - Foto Astro AWANI/Raja Hisham Raja Zaid
Jika di Terengganu sekitar kawasan Drawbridge menjadi lokasi tumpuan warga negeri itu sebagai tempat paling ideal dan santai untuk berbuka puasa, tidak kurang pula popularnya lokasi di sekitar tapak Festival Ramadan dan Bazar Ramadan Putrajaya.
Terletak di Persiaran Perdana berhadapan dengan bangunan Istana Kehakiman, kawasan itu mula diserbu warga kota yang memilih untuk berbuka di luar sejak awal Ramadan lalu.
Kawasan yang paling menjadi tumpuan ialah kawasan padang berhadapan pintu gerbang yang berhampiran tapak bazar tersebut yang sering kali menjadi pilihan warga kota untuk merasai nikmat berbuka puasa dengan keluarga secara santai dalam keadaan dan suasana yang menarik.
Apatah lagi kawasan di sekitar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam yang membuatkan pengunjung bazar tersebut berasa lebih selesa dan lebih mesra pengunjung.
Sebut sahaja apa yang diperlukan seperti masjid, tempat letak kereta yang luas dan dekat, tandas awam, khemah juadah berbuka yang menawarkan lebih seribu juadah untuk dipilih dan pelbagai lagi.
Malah rata-rata netizen yang ditemui mengakui lebih selesa untuk memilih bazar Ramadan di situ kerana lebih baik dari segi kemudahannya serta lebih selesa jika dibandingkan dengan bazar-bazar yang lain di tengah ibu kota yang sesak dan sering berdepan dengan masalah kesukaran mencari tempat letak kereta.
“Kalau nak diikutkan saya ke tapak bazar sini hampir setiap hari sejak bermula Ramadan yang lalu. Banyak hari juga saya dan keluarga memilih untuk berbuka di atas padang depan pintu gerbang ini. Sangat seronok dan rasa nyaman.
"Lepas beli juadah berbuka kami terus berbuka atas padang ini, solat dan lepas tu terus ke khemah bazar di sebelah untuk belia kelengkapan raya sikit-sikit. Senang mudah dan sangat selesa,” kata Mohd Amran Md Isa, 34, yang merupakan salah seorang pengunjung yang sering ke situ.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati rata-rata orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut seawal jam 4.30 petang untuk membeli juadah berbuka serta kelengkapan awal sebagai persediaan hari raya.
Menurut salah seorang pengunjung Harith Husairi Hamid 26, apa yang menarik jelasnya suasana di bazar Putrajaya ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain.
“Kalau nak diikutkan Bazar di Putrajaya ni sangat berbezalah dari bazar-bazar kat lain di KL ini. Suasana dia sangat selesa dan sesuai bagi keluarga. Apa yang penting kemudahan seperti tempat parking itu senang dan dekat.
"Tak payah kita nak berebut-rebut dan jalan jauh macam di tengah KL tu. Lagipun kalau nak beli barang raya kat sini sesetengahnya lebih baik kualitinya serta tempatnya juga selesa, siap ada live band lagi dan artis pun ada,” katanya yang datang ke bazar itu dengan keluarganya.
Sememangnya pengunjung di bazar tersebut boleh secara santai membeli belah kelengkapan raya sambil berhibur dengan persembahan yang diadakan.
Tinjauan mendapati ada dua pentas yang disediakan penganjur iaitu di luar khemah serta di dalam khemah.
Tidak kurang juga beberapa selebriti terkenal turut mengambil peluang berniaga di situ termasuk pelawak Shuib , penyanyi Siti Sarah, kumpulan XPDC , selain Ezad Lazim, Azharina, Tasha Shila dan ramai lagi yang mungkin juga salah satu sebab ia mampu menarik ramai pengunjung di situ.
Lebih lima ribu pengunjung memenuhi setiap ruang di bazar berkenaan setiap hari yang menutup operasinya sehingga jam 2 pagi.
#Astro #Astro Awani #Azharina #Bazar Ramadan #Belia #berbuka puasa #hari raya #ISA #keluarga #kereta #Kuala Lumpur #puasa #Putrajaya #Ramadan #Siti Sarah #Tasha Shila #XPDC
;