#JendelaRamadan: Tip kawal 'selera' anak waktu beli-belah Raya
Hamzah Hamid
Julai 10, 2015 23:28 MYT
Julai 10, 2015 23:28 MYT
Hari Raya Aidilfitri semakin hampir dan inilah masanya bazar dan kompleks beli-belah sibuk memperagakan pelbagai barangan untuk menarik perhatian pelanggan.
Iklan dan poster seperti ‘Jualan Murah, ‘Diskaun Hebat’, ‘Pembelian Bernilai’ dan ‘Istimewa Raya’, membuatkan ramai orang terpancing dengan strategi pemasaran.
Banyak keluarga mula sibuk meneliti senarai pembelian dan diulang periksa berkali-kali untuk memastikan mereka membeli segala barangan terbaik.
Lagipun ini hari raya, dan bagi kebanyakan daripada kita, membeli sesuatu yang baharu untuk ahli keluarga dan kediaman dipercayai antara cara untuk meningkatkan rasa gembira dan mood perayaan.
Begitupun, tidak semua keluarga mempunyai kelebihan untuk berbelanja mewah. Maka adalah penting untuk mengajar anak-anak untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Bagi situasi ini, adalah disyorkan supaya dibuat perancangan alternatif bagi anak-anak anda.
Pensyarah Psikologi dari Universiti Sunway, Elaine Yong memberitahu Astro AWANI betapa pentingnya bagi ibu bapa untuk menjelaskan perbezaan erti keperluan dan kehendak terutamanya dalam sesi beli-belah sempena kedatangan hari raya.
Betapa pentingnya bagi ibu bapa untuk menjelaskan perbezaan erti keperluan dan kehendak terutamanya dalam sesi beli-belah sempena kedatangan hari raya. - Gambar hiasan
'CANTIK UNTUK DIMILIKI’
“Berdasarkan Hierarki Keperluan Maslow, keperluan asas manusia ada beberapa iaitu dari sudut fisiologikal seperti makanan dan air, diikuti hal-hal perlindungan tubuh, kesihatan dan keluarga. Semua keperluan itu merupakan kelangsungan hidup seharian.
“Kehendak pula merujuk kepada benda atau objek lain yang di luar skop keperluan asas. Kehendak adalah sesuatu yang nampak ‘cantik untuk dimiliki’ namun tidak perlu untuk tujuan kelangsungan hidup.
“Kehendak boleh memberi kebahagiaan sementara namun ia bersifat jangka pendek terutamanya apabila sesuatu yang lebih baharu diidamkan,” kata Elaine.
Tambahnya, sempena hari raya nanti, ibu bapa perlu menyenaraikan barangan yang disifatkan sebagai keperluan asas bagi perayaan. Mungkin sepersalinan baju raya dan kasut jatuh dalam kategori keperluan sambutan perayaan, manakala permintaan lain seperti gajet dan telefon pintar adalah kehendak.
Untuk mencapai objektif, beberapa kaedah boleh digunakan untuk membimbing anak-anak memahami soal wang dan perbelanjaan.
Elaine menggalakkan ibu bapa supaya mengajar anak-anak mereka memahami nilai mata wang berbeza dan konsep perbelanjaan secara keseluruhan.
“Selain terdapat banyak alat bantu pemahaman dalam talian, cara terbaik untuk mengajar tentang wang dan perbelanjaan adalah melalui ibu bapa yang menunjukkan tanggungjawab kewangan yang bagus.
“Sememangnya anak-anak melihat dan cepat belajar daripada ibu bapa. Apabila ibu bapa menunjukkan teladan perbelanjaan bertanggungjawab, anak-anak akan mempelajarinya juga.
“Berbuallah dengan anak-anak anda tentang wang dan jangan lepaskan tugas itu sepenuhnya kepada pihak sekolah. Beritahu anak-anak tentang kepentingan menyimpan sebahagian daripada wang saku mereka.
“Beri ganjaran kepada anak-anak apabila mereka dapat menyimpan walaupun dalam peratusan kecil. Galakkan mereka untuk memiliki sasaran kewangan jangka panjang dan menyimpan wang bagi tujuan itu. Bawa anak-anak anda ke bank untuk mendepositkan wang simpanan raya mereka,” katanya.
Ibu bapa perlu beri ganjaran kepada anak-anak apabila mereka dapat menyimpan walaupun dalam peratusan kecil selain galakkan mereka memiliki sasaran kewangan jangka panjang. - Gambar fail
ANAK-ANAK MULA MEMBANDINGKAN
Apakah yang perlu ibu bapa jelaskan kepada anak-anak sekiranya mereka mula membandingkan apa yang dimiliki kanak-kanak lain yang seusia, khususnya berkenaan persiapan raya?
“Adalah lumrah dalam sifat manusia untuk membandingkan. Kita selalu terlintas dalam fikiran akan rumput di halaman orang yang lebih hijau. Bagaimanapun, keperluan untuk membandingkan itu tidak akan berakhir.
“Maka, adalah lebih bijak jika ibu bapa menerapkan kesederhanaan dan mengajar anak-anak untuk bersyukur,” katanya.
Elaine juga menyarankan agar ibu bapa memulakan satu tradisi baru, iaitu dengan duduk bersama-sama anak-anak dan berkongsi rasa syukur tentang apa yang membuatkan mereka gembira setiap hari.
“Hasilkan kepingan kad untuk seseorang yang mereka ingin sampaikan rasa terima kasih, atau nota penghargaan kepada seseorang. Cuba minta anak-anak untuk menyampaikan kad tersebut secara peribadi pada hari pertama menyambut Syawal,” syor Elaine.
TIP BUAT IBU BAPA
Sebelum ibu bapa meninggalkan rumah untuk membeli-belah, cuba capai persetujuan keluarga. Ibu bapa boleh catatkan senarai pembelian dan beritahu anak-anak bahawa sesi berbelanja pada hari itu akan mengikut senarai tersebut.
“Sebagai bonus, setiap anak boleh memilih SATU barang untuk dibeli. Ibu bapa juga boleh menetapkan had perbelanjaan. Jika anak tersebut tidak menurutinya dan mempamerkan kelakuan memberontak, satu keluarga akan pulang ke rumah.
“Peraturan itu perlu dipersetujui secara jelas namun pelanggaran peraturan juga boleh berlaku. Mungkin ia sukar pada mulanya namun ibu bapa boleh membuat sesi percubaan dahulu untuk membiasakan rutin itu dalam beberapa kali kunjungan ke pusat beli-belah sebelum keluar berbelanja bagi peringkat akhir sebelum hari raya,” kata Elaine.
Ibu bapa boleh membuat sesi percubaan dahulu untuk membiasakan rutin itu dalam beberapa kali kunjungan ke pusat beli-belah sebelum keluar berbelanja bagi peringkat akhir sebelum hari raya. - Gambar fail
APABILA ANAK ‘MERAGAM’
Kelakuan anak-anak ‘meragam’ atau memberontak adalah normal, kata Elaine. Sememangnya ia berlaku kalau pada mana-mana anak kecil apabila berasa kecewa sesuatu tidak terjadi seperti yang diharapkan.
“Sedikit pujukan daripada ibu bapa boleh mengalihkan emosi anak yang sedang menzahirkan kekecewaannya. Dalam kes anak yang ‘meragam’ pula, adakalanya dia tidak akan mengalah dan terus menjerit, mendengus atau menangis,” jelasnya.
Pada kebanyakan masa, ibu bapa gagal untuk menyedari bahawa mereka menggalakkan tabiat ‘memberontak’ itu.
Pertama, apabila ibu bapa merayu anak tersebut supaya diam, anak itu sedar bahawa mereka ada kelebihan dan telah mendapat perhatian ibu bapa mereka. Oleh itu, anak itu akan terus menjerit lebih kuat dan mendengus lebih panjang kerana beranggapan bahawa ibu bapa akan akhirnya mengalah.
“Kedua, ibu bapa sering ‘kalah’ dalam ‘peperangan emosi’ kerana mereka tidak mengikuti sepenuhnya kata-kata yang mereka tegaskan sebelumnya. Anak-anak sangat bijak dalam hal ini dan akan tahu ibu bapa mereka tidak pernah meneruskan ketegasan tersebut.
“Ini seumpama ibu bapa yang ‘memberi ancaman dengan ‘peluru kosong’,” kata Elaine.
Ketiga adalah mengenai corak keibubapaan yang tidak konsisten. Jika seorang bapa tegas dalam hal menegakkan disiplin dan si ibu pula sering berlembut dan mengalah, anak akan belajar untuk memanipulasi ibu bapanya.
“Oleh itu, kedua-dua ibu bapa perlu berbincang tentang gaya mendisiplinkan anak mereka dan memastikan prinsip ‘satu rumah, satu gaya keibubapaan’ terlaksana,” jelas Elaine.