#JendelaRamadan: Berhari raya sambil bercuti, satu trend masa kini?
Izza Izelan
Julai 8, 2015 23:49 MYT
Julai 8, 2015 23:49 MYT
PADA kebiasaannya apabila menyebut sahaja ‘Hari Raya’, pastinya semua akan teringat kampung halaman masing-masing. Tidak sah kalau Hari Raya tidak disambut di kampung bersama keluarga dan sanak saudara dalam tradisi musim perayaan yang dipanggil 'balik kampung'.
Namun dewasa kini, ramai di kalangan kita yang suka menyambut Hari Raya dengan sedikit kelainan – iaitu ber’hari raya’ sambil bercuti ke luar negara. Ia sememangnya bukan sesuatu yang baru, tetapi semakin menjadi trend masa kini.
Berhari raya di luar negara
Bagi Amylia Soraya Aminuddin, 26 tahun, dia dan keluarganya sudah meraikan Hari Raya di luar negara sejak lima tahun yang lalu. Amylia merupakan anak kepada hasil perkahwinan campur – bapanya, Aminuddin Omar Azaddin, seorang berbangsa Melayu, manakala ibunya, Alia Soraya Foong Abdullah, seorang berbangsa Cina yang memeluk agama Islam. Jadi, sambutan Hari Raya kebiasaannya disambut bersama keluarga sebelah ayahnya.
Semuanya bermula apabila kedua-dua datuk dan neneknya meninggal dunia, yang menimbulkan perasaan sayu yang tidak terhingga lantas mereka mengambil keputusan untuk berhari raya ke luar negara.
Gambar kenangan datuk kepada Amylia, Omar Azaddin Mohd Ali dan neneknya Hendun Mustapha
“Kehilangan kedua-dua datuk dan nenek saya merupakan sesuatu yang amat perit buat kami sekeluarga. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk berhari raya di suatu tempat yang sedikit jauh agar tidak dibelenggu rasa hiba dan sayu,” jelas Amylia.
Sejak itu, Amylia dan keluarganya mendapati bahawa bercuti sambil berhari raya menyeronokkan dan membuat keputusan untuk meneruskan ‘tradisi’ baru itu pada tahun berikutnya. Kini, setiap tahun keluarganya berbincang untuk memilih lokasi seterusnya setiap kali Hari Raya kian tiba.
Setakat ini, mereka sekeluarga telah bercuti ke beberapa negara seperti Thailand, Korea Selatan dan Hong Kong.
Amylia (paling kiri) bersama kembarnya, Alisya (dua dari kiri) dan kedua ibu-bapanya ketika bercuti di Hong Kong pada tahun Ogos 2012.
“Untuk tahun ini, kami bercadang untuk pergi bercuti ke Sri Lanka pula. Namun mungkin terpaksa dibatalkan kerana adik saya terpaksa bertugas pada Hari Raya. Bagaimanapun kami telah mula membuat perancangan untuk Hari Raya tahun hadapan, iaitu untuk bercuti ke Eropah.
“Beberapa orang saudara saya kini berada di United Kingdom dan Perancis, jadi kami ingin melawat mereka sekaligus meraikan Hari Raya bersama di sana,” kata Amylia.
Beraya di luar negara lebih santai
Menurut Amylia, menyambut Hari Raya di luar negara lebih santai. Ini kerana tiada kesesakan lalu lintas, dan tidak sibuk dengan kerja memasak dan melayan tetamu.
Malah, masa ini digunakan untuk melawat tempat-tempat peranginan tanpa perlu bersesak-sesak.
Amylia (dua dari kiri) mula bercuti bersama keluarganya ke luar negara untuk menyambut Hari Raya sejak lima tahun lalu. Dari kiri, Alisya (kembar Amylia), Armin (adiknya) dan Aminuddin (ayahnya).
Walau bagaimanapun, Amylia mengakui bahawa ada kalanya berasa rindu untuk meraikan hari gembira itu seperti orang lain.
“Kami sekeluarga kadang-kadang masih meraikan Hari Raya seperti biasa – dengan memakai baju raya, menyajikan ketupat dan rendang, serta melawat sanak saudara. Tapi bezanya kini, kami hanya berbuat demikian pada Hari Raya pertama. Selalunya pada Hari Raya kedua dan seterusnya kami sudah berlepas ke luar negara,” ujar Amylia.
Hari Raya ke luar negara semakin popular
Kata Amylia, keluarga sanak-saudaranya yang lain kini turut mengamalkan tradisi yang sama. Mereka kebiasaannya bertemu pada Hari Raya kedua, dan kemudiannya pada Hari Raya kedua, kesemua keluarga masing-masing akan berlepas ke destinasi percutian.
Kemeriahan menyambut Hari Raya di luar negara masih sedikit berbeza dengan berhari raya di kampung halaman. - Gambar Arkib
Amylia turut menambah bahawa beberapa rakannya kini turut berhari raya ke luar negara, dan ia semakin popular di kalangan pasangan muda mahupun mereka yang mempunyai keluarga yang besar.
Namun apa sekali pun, baginya, tradisi masih penting dan pastinya setiap kali Hari Raya, nostalgia berhari raya di kampung masih terngiang-ngiang di fikiran.