Jenama besar minat bekerjasama dengan pelukis Malaysia, Indonesia
Irwan Muhammad Zain
Ogos 12, 2019 05:31 MYT
Ogos 12, 2019 05:31 MYT
KEBELAKANGAN ini, seperti menjadi trend bagi jenama-jenama besar untuk bekerjasama dengan seniman.
Kerjasama ini dilakukan kerana jenama-jenama besar itu yakin dengan semangat dalam karya yang dihasilkan oleh seniman terutama pelukis.
Pelukis Indonesia, Ronald Apriyan antara yang bertuah kerana dapat bekerjasama dengan sebuah jenama telefon pintar terkemuka dari China iaitu Oppo.
Jelas beliau, kerjasama ini sangat besar yang diterima kerana Oppo tertarik dengan semangat dalam karya-karya beliau.
"Sekarang brand besar mampu dan mahu berkolaborasi dengan seniman dan mereka beri expose yang sangat besar untuk seniman tidak hanya sekadar kolaborasi dari satu design lukisan tetapi juga expose semua dalam hidup saya," katanya kepada Astro AWANI.
Untuk kerjasama dengan Oppo ini, Ronald menghasilkan karya yang dinamakan rumah makan padang di masa hadapan dan ia mendapat sambutan yang menggalakan.
Ronald juga yakin, jenama-jenama besar akan lebih banyak bekerjasama dengan seniman dari Malaysia dan Indonesia kerana terdapat begitu banyak karya hebat dihasilkan oleh seniman kedua negara.
"Saya rasa banyak jenama-jenama besar akan lebih berminat untuk bekerjsama kerana terinspirasi dengan karya-karya seniman Malaysia dan Indonesia.
"Karya-kara ini kebanyakkan dihasilkan oleh anak muda dan jenama-jenama besar ini sangat berminat dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak muda," katanya lagi.
Mengulas mengenai penyertaan di pameran BEDA, Ronald berkata kerjasama antara kedua negara ini perlu lebih kerap diadakan ia sudah lama tidak dilakukan.
"Pameran BEDA ini boleh menjadi jambatan yang mungkin pernah hilang kerana sudah lama tidak bekerjasama disebabkan mungkin kerana kesibukkan masing-masing.
"Dan saya harap untuk masa hadapan, akan lebih banyak karya-karya yang lebih menarik, lebih gila dan lebih ekstrem kerana banyak sekali yang boleh diketengahkan.
"Dari karya-karya yang ada di Malaysia dan Indonesia, saya lihat anak-anak muda sangat bersemangat dan mungkin kerjasama kedua negara boleh lebih besar," katanya.
Beliau juga melihat seniman kedua-dua negara boleh mempelajari antara satu sama lain dan mampu mencari persamaan dalam perbezaan karya mereka.
Bagi yang berminat untuk melihat hasil karya bekas pelajar fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UITM dan Institut Seni Indonesia, pameran BEDA akan berlangsung di Segaris Art Centre, Publika sehingga 25 Ogos nanti.