'Jenaka lucah' iklan KFC Australia dikecam netizen
Nizam Bakeri
April 15, 2016 23:46 MYT
April 15, 2016 23:46 MYT
KFC Australia tersilap langkah dalam mempromosi produk baharu apabila netizen mengkritik hebat tindakan syarikat makanan segera itu menggunakan gambar yang dianggap berunsur lucah.
Dalam satu tweet, KFC Australia menyertakan gambar seorang wanita menghulur tangan ke arah kelangkang lelaki yang dikaburkan.
Imej yang kononnya menggambarkan bekas berisi ayam yang diriba lelaki tersebut tidak dapat diterima oleh netizen yang rata-rata menyifatkan iklan tersebut tidak sensitif.
Beberapa netizen turut berpendapat iklan tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak dan turut merendah-rendahkan wanita.
Namun, terdapat juga beberapa netizen yang berpendapat iklan tersebut tidak menyinggung dan bersifat jenaka semata-mata.
Menurut Mashable, tweet tersebut dipadam hanya sejam selepas dimuat naik. KFC Australia turut memohon maaf berikutan respon terhadap tweet itu.