Jangan taksub minum air manis sepanjang Ramadan
Faida Rahim
April 12, 2023 22:00 MYT
April 12, 2023 22:00 MYT
SETIAP kali Ramadan, selera sebahagian besar daripada kita berubah secara mendadak. Keinginan dan kehendak mengatasi kemampuan perut dan mulut kita untuk menerimanya.
Bahkan, sebilangan besar daripada kita juga sangat cenderung menjamah juadah yang manis-manis sepanjang bulan puasa.
Sebetulnya, harus diingatkan bahawa jangan sesekali taksub mengambil makanan atau minuman manis ketika waktu berbuka puasa terutama bagi mereka yang berdepan masalah kulit berjerawat.
Menurut seorang doktor kulit, Dr Alina Hasni, pengambilan makanan atau minuman manis boleh menyebabkan lonjakan tahap gula dalam darah diikuti oleh penurunan mendalam yang boleh mengganggu pengawalan insulin dalam badan.
“Bulan puasa, kecendurangan untuk minum atau makan benda manis agak tinggi memandangkan tubuh kita menggunakan tenaga terlalu banyak. Kalau bulan biasa, bila kita beraktiviti kita dah recharge tenaga dengan makan.
“Berbeza pada bulan puasa, tubuh kita tak recharge yang membuatkan paras gula dalam badan itu rendah dari kebiasaaan.
“Justeru, jangan taksub kerana minuman manis boleh menyebabkan lonjakan cepat dalam tahap gula darah, diikuti oleh penurunan mendalam, yang boleh mengganggu pengawalan insulin dalam badan. Ini boleh memicu ketidakseimbangan hormon yang mungkin menyumbang kepada masalah kulit seperti jerawat dan keradangan,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Dr Alina, minuman manis seperti yang tinggi gula juga boleh menyebabkan peningkatan rasa haus dan menyebabkan dehidrasi atau kehilangan air dalam badan.
“Kehilangan air boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan kusam serta mengurangkan keanjalan, menjadikan kulit kelihatan kurang sihat dan bermaya.
“Harus diingat bahawa reaksi individu terhadap minuman manis semasa berpuasa mungkin berbeza dan sesetengah orang mungkin lebih peka terhadap kesan gula terhadap kulit,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Alina menasihatkan agar persiapan kulit menjelang Hari Raya Aidilfitri harus dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan lebih awal.
“Ada pesakit yang datang ke klinik untuk merawat masalah jerawat ketika bulan puasa. Proses penyembuhan jerawat tidak boleh dilakukan dalam sehari dua.
“Bila kulit wajah mula menunjukkan tanda bermasalah, segera berunding dengan doktor kulit. Ambil peluang 30 hari sepanjang Ramadan ini untuk beri peluang kulit sembuh memandangkan pengambilan makanan tidak banyak seperti bulan biasa.
“Ini masa sesuai untuk beri ruang kulit ‘berehat’ seketika dan ganti air manis dengan air masak secukupnya.
“Menjaga hidrasi dengan air dan mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan nutrien sepanjang bulan berpuasa secara amnya dapat memberikan manfaat kepada kesihatan kulit secara keseluruhan,” kata beliau lagi.