Jangan pandang rendah TVET

Bernama
Oktober 31, 2017 13:57 MYT
Mereka yang didedahkan dengan latihan teknikal dan vokasional juga berpeluang untuk berjaya dalam hidup, malah ada yang lebih mendatangkan pendapatan berbanding lulusan akademik. - Gambar fail
Tidak ada ibu atau ayah yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam bidang pelajaran, mempunyai pekerjaan yang stabil, mampu membeli rumah dan mempunyai keluarga sendiri.
Begitulah juga dengan seorang 'pakcik' yang penulis temui di sebuah bengkel membaiki peralatan elektrik di Jalan Reko Mutiara baru-baru ini.
Beliau yang kemudiannya memberitahu namanya Zainudin Abu Hassan berusia dalam lingkungan awal 50-an adalah ayah kepada empat orang anak. Anak yang sulung dan anak keduanya perempuan, masing-masing sudah habis belajar di sebuah institusi pengajian tempatan.
Manakala, ada dua lagi masih belajar di sekolah rendah. Kalau difikirkan, bekas kakitangan swasta ini boleh menarik nafas lega kerana dua tanggungannya sudah selesai belajar dan kini hanya tertumpu kepada anak yang masih kecil.
Sebaliknya beliau masih bimbang dengan masa depan kedua-dua anak perempuannya itu semasa bersembang dengan penulis.
"Shamila anak sulung pakcik berusia 25 tahun, graduan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia. Manakala adiknya Najwa, 22, lepasan diploma Pendidikan Prasekolah sebuah kolej tempatan.
"Ingatkan apabila habis belajar, sijil yang mereka perolehi ini mudahlah dapat kerja. Rupanya susah juga kerana sudah terlalu ramai graduan dalam jurusan itu dan kakaknya ambil masa berbulan baru dapat kerja.
"Itu pun gaji tidak setinggi mana berbanding anak muda yang pakcik kenali ada kemahiran vokasional, dapat gaji lumayan. Takpalah, yang penting mereka bekerja daripada langsung tak buat apa-apa," kata Zainudin.
Tanggapan negatif
Seperti segelintir ibu bapa, Zainudin juga sebelum ini tidak terkecuali untuk turut sama mempunyai tanggapan yang negatif terhadap sektor pendidikan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).
Baginya, bidang kemahiran vokasional yang sering kali dilabel sebagai tidak ada nilai 'prestij' hanyalah sesuai kepada golongan yang kurang berjaya dalam bidang akademik. Dalam erti kata mudah, anak yang sudah tidak ada harapan lagi untuk digilap atau tidak ada masa depan cerah buat mereka.
Bagaimanapun, kesukaran anaknya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian telah banyak menyedarkan lelaki ini bahawa kecemerlangan akademik tidak lagi menjadi faktor mutlak kejayaan pada masa kini.
Apatah lagi, negara sudah mempunyai terlalu ramai lulusan universiti, kolej dari institusi pengajian awam mahupun swasta sehingga mencetuskan masalah lambakan graduan dan persaingan sengit dalam mendapat sesuatu pekerjaan.
Persaingan global
"Melihat nasib yang menimpa anak perempuan saya, saya mula memikirkan masa depan dua lagi anak yang masih bersekolah. Saya bukan kata akademik tidak penting, tetapi kemahiran juga perlu ada dalam menghadapi persaingan global.
"Saya mula menyedari latihan kemahiran yang dimiliki seseorang individu adalah satu kelebihan. Oleh itu, ibu bapa harus ubah minda, persepsi negatif bidang kemahiran yang sering kali dilabelkan sesuai untuk anak kurang cemerlang dalam pelajaran," katanya.
Apa yang diluahkan oleh Zainudin kepada penulis memang ada kebenarannya. Memang sudah tiba masanya agar lebih ramai lagi ibu bapa berpendirian seperti beliau.
Jangan lagi bidang TVET dianggap kerjaya pilihan terakhir atau laluan yang dianggap penuh gerhana bagi sesiapa sahaja menceburinya dengan anggapan ia tidak menjanjikan masa hadapan yang sempurna.
Walhal, rekod kejayaan mahupun kisah positif anak bangsa yang memilih sektor latihan ini sudah terlalu banyak dipaparkan sama ada melalui medium elektronik mahupun akhbar.
Individu berjaya
Tambahan lagi, mereka yang berjaya dalam bidang TVET ini boleh dijadikan teladan seperti Muhammad Sayuti Rameli.
Penulis bertemu dengan Muhammad Sayuti pada tahun 2015 ketika membuat liputan program kemahiran vokasional yang diadakan di sebuah sekolah di kawasan Cheras. Ketika itu, anak muda ini berusia 20 tahun dan sedang menjalani latihan Skil Jurukimpal dengan sebuah institusi kemahiran tempatan.
Ceritanya dengan jujur yang dia seorang suka ponteng sekolah, tidur di bawah meja ketika guru mengajar disebabkan langsung tidak minat belajar dan pernah digantung sekolah selama dua minggu.
Ramai menganggapnya tidak mempunyai masa hadapan kerana keputusan peperiksaannya teruk namun semuanya berubah apabila dia terlihat iklan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk mengikuti program Skil Jurukimpal.
Seolah mendapat peluang kedua, dia juga tidak perlu bimbang mengenai pekerjaan kerana selepas tamat menjalani latihan selama tiga bulan, Muhammad Sayuti terus dapat bekerja dengan Sapura Kencana Petroleum Bhd dengan gaji RM3,800 sebulan!
Sudah semestinya pencapaian anak muda ini amat membanggakan ibu dan ayahnya. Penulis juga terkenangkan gaji yang penulis terima ketika mula-mula bekerja dahulu tidaklah sebanyak yang diperolehinya.
Benarlah, jangan kita pandang rendah kepada pekerja yang hanya bersandarkan kepada kemahiran. Mungkin gaya penampilan mereka tidak sehebat orang yang bekerja di pejabat tetapi kemahiran yang dimiliki menjamin pendapatan lumayan.
Malah, kerajaan sendiri turut sama memberi fokus yang tinggi terhadap pengeluaran tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pelbagai langkah dan anjakan pradigma dilakukan bagi mengarusperdanakan bidang kemahiran termasuk menjenamakan semula sistem pendidikan ini sebagai TVET Malaysia pada September lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan beberapa inisiatif termasuk membangunkan satu pelan induk yang komprehensif (TVET Masterplan) semasa melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi, September lepas.
Beliau dipetik sebagai berkata modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting untuk mentransformasi ekonomi negara dan berfungsi menutup jurang kemahiran yang dihadapi khususnya oleh industri.
Negara memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus pekerja mahir daripada pelbagai bidang dalam kalangan warga kerja tempatan selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi mejelang 2020.
Berdasarkan peratusan tidak rasmi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2016, tenaga kerja itu dilihat sudah berada pada kadar 31 peratus dan ia perlu dipertingkatkan lagi untuk mencapai sasaran.
Sudah tentunya langkah utama ialah memperkasakan TVET yang secara tidak langsung satu perkembangan positif ke arah mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja kemahiran tinggi dan separa mahir di kalangan warga asing pada masa hadapan.

* Artikel daripada Bernama ini adalah hasil tulisan Sakini Mohd Said.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tida semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI

#akademik #kemahiran #kerjaya #lulusan universiti #pekerjaan #peluang #pendidikan #skil #teknikal #TVET #vokasional
;