Jangan mengaku Bangsa Johor kalau tidak kenal apa itu air katira
Muhammad Aiman Hakeem
April 19, 2022 17:12 MYT
April 19, 2022 17:12 MYT
JOHOR BAHRU: Sekiranya anda yang dari luar Johor berkunjung ke negeri berkenaan pada bulan Ramadan, anda harus mengambil peluang menikmati minuman air katira.
Air katira sangatlah masyhur dan sentiasa menjadi tumpuan ramai pada bulan penuh kemuliaan itu.
Populariti minuman berkenaan dalam kalangan bangsa Johor sungguh menakjubkan.
Bagaikan sudah menjadi kemestian di negeri Johor, air katira menjadi antara hidangan utama di meja makan semasa berbuka puasa.
Kerana permintaan yang tinggi daripada penggemar, maka tidak hairanlah kenapa setiap Bazar Ramadan di negeri itu menjual minuman berkenaan.
Bagi pengusaha air katira, Norhafizi Abdul Wahab, 44 tahun, kelazatan air katira yang dicampur ramuan semula jadi seperti getah anggur, badam, kurma dan banyak lagi menjadi daya penarik utama minuman tersebut.
Jelasnya, air katira turut sarat dengan khasiat yang menyegarkan, sekali gus menjadi faktor mengapa ia menjadi buruan ramai ketika waktu berbuka puasa.
"Sama seperti murtabak dan popiah basah, air katira juga menjadi menu utama yang penting semasa berbuka puasa di Johor
"Ia begitu popular kerana minuman ini hanya muncul setahun sekali pada bulan Ramadan.
"Tambahan pula, minuman ini juga mempunya nilai 'sentimental ramadan' yang tinggi khususnya di negeri ini," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, pada Ahad.
Menurut Norhafizi, kemeriahan pelbagai jenis air katira dengan pelbagai resepi membuatkan air ini menjadi minuman ikonik yang harus dibanggakan oleh rakyat johor.
Berdasarkan sejarah, Johor, ujarnya, menjadi negeri tumpuan bagi sesiapa yang ingin merasai air katira yang asli.
Kerana itu, kata Norhafizi, terdapat rakyat dari negeri lain yang datang ke Johor semata-mata untuk merasai minuman berkenaan.
"Air katira di Johor disifatkan unik kerana ia masih lagi mengekalkan resepi tradisi yang asli dengan penggunaan bahan-bahan utama seperti kismis, kurma, badam, getah anggur dan buah semangkuk.
"Segelintir peniaga air katira di negeri lain tidak menggunakan ramuan berkenaan, sebaliknya, mereka menggunakan cincau dan selasih bagi mengurangkan kos pembuatan.
"Bagaimanapun, perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang tidak baik, sebaliknya, dapat memperbanyakkan lagi pilihan pelanggan.
"Dalam pemerhatian saya, ada juga peniaga yang telah menawarkan berbagai jenis varian baru katira seperti katira ABC, katira coklat dan lain lain.
"Ini bermakna minuman itu telahpun mengalami evolusi dalam menyesuaikan diri kepada juadah moden" katanya lagi.
Selain itu, Norhafizi tidak menolak pendapat asal-usul air katira dalah dari Asia Barat berikutan bahan utama dalam pembuatannya terdiri badam, kurma dan kismis yang banyak terdapat di negara di benua berkenaan.
Berdasarkan pengalamannya mengusahakan produk air katira, TIRA JB selama hampir tiga tahun, dia menjelaskan, proses penyediaan bahan lebih sukar berbanding proses pembuatan minuman berkenaan.
Katanya, getah anggur perlu direndam didalam air selama lebih 24 jam bagi memastikan ia kembang dan empuk sepenuhnya sebelum boleh dicampurkan bersama-sama dengan ramuan lain.
Manakala bahan kekacang seperti badam atau gajus perlu dipilih dengan teliti supaya tekstur air tidak terlampau kasar dan rasanya lebih berlemak.
Sebagai usahawan air katira, besar harapan Norhafizi minuman berkenaan akan terus masyhur dalam kalangan masyarakat khususnya di Johor.
Dalam masa sama, Norhafizi berhasrat air katira akan menjadi lambang dan keistimewaan negeri itu.
"Air katira mempunyai pasaran yang luas di negeri Johor. Saya juga turut berbesar hati kerana dapat bersama-sama memeriahkan suasana Ramadan setiap tahun dengan menjual air katira kami.
"Lebih menarik, air katira dari Johor juga telah mendapat permintaan yang tinggi dari peminat luar negeri Johor," katanya.