Jangan malu daftar sebagai OKU - Ras Adiba

Saraya Mia
Ogos 19, 2020 18:03 MYT
Ras Adiba berpendapat orang ramai perlu bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran awam supaya tidak memandang rendah golongan OKU. -Astro AWANI
Malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut.
Itu mungkin peribahasa yang sesuai menggambarkan segelintir komuniti orang kurang upaya (OKU) di Malaysia yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Senator Ras Adiba Radzi, yang menyedari keadaan itu agak serius berkata daripada 4.7 juta OKU di dalam negara, hanya kira-kira 560,000 orang sahaja yang berdaftar.
“Ini penting kerana kita mahu memastikan supaya mereka (OKU) tidak dilupakan. Apabila mereka dilahirkan kita (ibu bapa atau penjaga) kena memastikan kita mendaftarkan mereka.
"Jadi amat penting, apabila mereka (anak OKU) dilahirkan, ibu bapa memastikan untuk mendaftar mereka dengan JKM supaya kerajaan dapat memberi sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka supaya boleh diterapkan secara inklusif di dalam komuniti negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Embrace Autism, sebuah platform bagi melonjakkan bakat anak-anak autisme negara.
Acara Embrace Autisme yang belangsung selama tujuh hari di pusat beli belah Intermark, Jalan Tun Razak itu mempamerkan hasil kerja lima anak muda OKU.
Ia antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan komuniti itu dan meningkatkan peluang pekerjaan mereka.
Menurut Ras Adiba yang juga merupakan seorang OKU, antara keuntungan yang dapat dimanfaatkan golongan OKU sekiranya mereka mendaftar dengan JKM termasuk insentif kewangan serta peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Macam pagi tadi saya pergi PERKESO Melaka dan ada lima syarikat yang berikan peluang 600 pekerjaan kepada OKU yang datang,” tambah beliau yang sedang berusaha untuk membantu lebih ramai OKU menerima hak mereka, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, Ras Adiba berpendapat orang ramai perlu bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran awam supaya tidak memandang rendah golongan OKU, sebaliknya memahami keperluan mereka seterusnya membantu menyediakan kemudahan sewajarnya.
“Sebenarnya kami OKU di Malaysia ini belum berasa merdeka sepenuhnya kerana kami rasa dianaktirikan di negara sendiri.
"Bukan kerana kerajaan tidak melakukan sebaik mungkin tetapi kerana mentaliti orang ramai yang masih boleh kita sama-sama perbaiki,” tambah beliau.
#Autisme #Embrace Autism #kerajaan #Malaysia #OKU #rakyat #Ras Adiba Radzi #senator
;