'Jangan makan kuaci dalam stadium' - Datuk Seri Vida
Madiha Abdullah
Januari 23, 2016 13:12 MYT
Januari 23, 2016 13:12 MYT
"JANGAN bawa kuaci ke dalam stadium."
Itu pesanan Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Hasmizah Othman atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Seri Vida, kepada penyokong bola sepak.
Perkara itu diluahkan Vida dalam satu video yang dimuat naik ke laman Facebook dan Instagram rasmi pasukan Kelantan lewat malam tadi.
Katanya, beliau mahu pasukan bola sepak yang kini dijenamakan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu mempunyai bukan sahaja pemain yang berkualiti malah penyokong juga.
Membawa dan makan kuaci dalam stadium akan menyebabkan masalah kebersihan dan beliau sama sekali tidak mahu ia berlaku, apatah lagi Stadium Sultan Muhamad IV akan berwajah baharu tidak lama lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, pengasas produk Qu Puteh dan jus Pamoga itu juga dilaporkan akan menyediakan kemudahan kolam ais buat pemain PQPTRW, selain sebuah gimnasium yang lengkap di Wisma Vida Beauty yang terletak di Kota Bharu.
Vida Beauty baru-baru ini mengumumkan tajaan RM16 juta untuk Kelantan bagi dua musim; 2016 dan 2017.