Jangan kecil hati... kucing kenal nama sendiri, tetapi saja buat 'dek' - Kajian
Agensi
April 11, 2019 08:09 MYT
April 11, 2019 08:09 MYT
JIKA anda ada memelihara kucing, satu dilema yang anda biasa hadapi adalah bagaimana mahu menarik perhatiannya.
Sejinak manapun kucing, biasanya hanya akan memberi respons apabila mahukan sesuatu daripada anda, contohnya makanan.
Tetapi jika anda berpendapat kucing tidak punya kebolehan mengenal nama sendiri, anda silap.
Untuk mengetahui sama ada kucing boleh membezakan antara nama mereka dan perkataan lain yang disebut manusia, sekumpulan penyelidik University of Tokyo menjalankan satu siri eksperimen ke atas 78 ekor kucing.
"Untuk menguji hipotesis ini, kami menyebut empat perkataan berbeza secara serentak sebagai rangsangan pembiasaan.
"Kemudian kami sebut nama kucing itu sebagai rangsangan ujian," kata ketua penyelidik, Atsuko Saito.
Para penyelidik juga menguji sama ada kucing akan memberi respons jika namanya disebut orang yang tidak dikenali.
Berdasarkan maklum balas yang diberi haiwan itu, kebanyakan kucing dapat mengenali nama sendiri, tidak kira sama ada ia disebut oleh orang dikenali atau tidak.
Respons kucing dinilai berdasarkan beberapa cara, iaitu pergerakan telinga, pergerakan kepala, bunyi, pergerakan ekor dan pergerakan badan.
"Kesimpulannya, kucing boleh faham manusia. Cuma ia sengaja buat-buat tak tahu.
"Tetapi jangan ambil hati. Kucing bukan haiwan yang secara semulajadinya akan beri respons kepada manusia.
"Kucing akan berkomunikasi dengan manusia apabila ia mahu," kata Saito.