'Jangan cakap kapten tak payung', pantun juruterbang AirAsia cuit hati penumpang
Madiha Abdullah
Jun 7, 2016 20:24 MYT
Jun 7, 2016 20:24 MYT
TIDAK boleh dinafikan, dalam sesebuah penerbangan, peranan juruterbang merangkap kapten adalah penting.
Apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi mencemaskan atau berlaku kelewatan atas sebab-sebab tertentu.
Justeru, maklumat yang diberikan oleh juruterbang menjadi antara elemen yang dapat membantu menenangkan penumpang.
Dan jika ia dijadikan ukuran kecemerlangan seseorang juruterbang, maka juruterbang yang dikenali dengan nama "Kapten Sahar" ini bolehlah diklasifikasikan sebagai 'lulus dengan cemerlang.'
Video pengumuman dalam pesawat AirAsia AK700 berdurasi 1 minit 15 saat itu dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Izwah Ibrahim.
Juruterbang itu melakukan rutin taklimat sebelum pesawat berlepas, namun beliau berjaya memikat hati para penumpang apabila menyelitkan jenaka dalam pengumuman dwi bahasa itu.
Bukan itu sahaja, Kapten Sahar juga sempat mengutarakan pantun empat kerat, di mana rangkap terakhirnya berjaya mencuit hati penumpang.
"Perut lapar mencari nasi, Jangan dilupa sambal terung, Maklumat penerbangan saya dah kongsi, Jangan cakap kapten tak payung"
Video tersebut sudah menerima hampir 200,000 tontonan, dengan hampir 7,000 perkongsian, sejak dimuat naik dua hari lalu.