Jangan bimbang... Ini tip supaya anda bersedia dan tidak takut jarum suntikan

Afiezy Azaman
Jun 27, 2021 09:32 MYT
Suntikan vaksin COVID-19 penting untuk negara mencapai imuniti kelompok sekaligus membuka kembali ekonomi dan sosial. - Gambar fail
BAGI mereka yang memiliki trypanophobia atau fobia jarum suntikan, sudah pasti sedikit sebanyak terkesan dan bimbang untuk mengambil vaksin COVID-19 yang sedang rancak berlangsung dalam negara melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Bagi orang yang fobia jarum suntikan, mereka boleh mengalami gejala yang sangat tidak selesa seperti trauma, jantung berdegup kencang, pening kepala malah pengsan.
Apa yang menjadi kebimbangan ialah golongan ini ada yang menolak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sedangkan kebersamaan mereka dalam PICK sangat ditagih untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus menjelang hujung tahun ini seperti disasarkan negara.
Sekiranya masih bimbang dan takut untuk mendapatkan vaksin COVID-19, anda boleh mengamalkan beberapa tip ini agar rasa takut dengan suntikan jarum ini dapat diatasi.
Abaikan Berita Palsu Mengenai Vaksin
Pakar perubatan percaya, kebimbangan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 juga berkaitan dengan mitos-mitos yang tular dan telah dibaca oleh seseorang seperti teori konspirasi dan sebagainya.
Seseorang perlu mengabaikan mitos-mitos dan teori konspirasi yang merangkumi pelbagai berita palsu di media sosial dan aplikasi WhatsApp dan lebih baik merujuk kepada berita daripada media arus perdana atau berjumpa dengan doktor di hospital.
Carilah lebih banyak maklumat sekiranya belum boleh mengabaikan segala berita palsu tersebut dan pelajari fakta berkaitan vaksin COVID-19.
Fokus Kepada Kebaikan Vaksin COVID-19
Pakar psikiatri menyarankan orang yang takut disuntik vaksin COVID-19 agar fokus kepada perkara-perkara positif berhubung vaksin tersebut.
Ingatlah, vaksin ini bukan untuk melindungi diri kita sahaja, tetapi untuk melindungi orang yang kita cintai dan sayangi terutamanya golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit risiko tinggi.
Fikirkan, sekiranya sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan pantas, ini membolehkan pembukaan semula negara dan tiada lagi sekatan pergerakan malah kemungkinan besar prosedur operasi standard (SOP) juga akan dilonggarkan seperti yang berlaku di Hungary, Amerika Syarikat, New Zealand dan banyak lagi negara.
Jadi pilih, mahu terus berhubung menggunakan gajet dan peranti atau berjumpa secara fizikal dengan yang tersayang.
Janganlah sampai kita terpaksa menjadi seperti Filipina apabila Presidennya Rodrigo Duterte terpaksa mengugut rakyatnya untuk pilih vaksin COVID-19 atau dikenakan hukuman penjara disebabkan rakyat Filipina masih ramai yang tidak mahu mengambil vaksin.
Fikirkan Sebagai Tanggungjawab Sosial Terhadap Orang Lain
Fikirkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjadi benteng paling hadapan dalam memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.
Mereka juga ada keluarga, suami, isteri, anak-anak dan ibu bapa untuk dijaga dan pandemik ini telah setahun melanda, fikirkanlah perjuangan mereka yang tiada tolok bandingannya.
Ini akan lebih membuatkan kita bermotivasi untuk divaksin dan selangkah lebih dekat untuk pandemik ini berakhir dengan cepat.
Makan dan Minum Sebelum Terima Vaksin
Kedengaran seperti tidak perlu, tetapi mengisi perut dengan makanan terlebih dahulu sebelum divaksin dan memastikan tubuh terhidrasi dengan baik dapat membantu mengurangkan perasaan pening dan mengelakkan pengsan.
Ini kerana apabila perut lapar dan dehidrasi boleh menambah kesan negative daripada tekanan dan ketakutan untuk mendapatkan suntikan jarum.
Beritahu Petugas Kesihatan
Tidak perlu malu untuk memberitahu kepada petugas kesihatan yang menyuntik anda bahawa anda mempunyai ketakutan dan cemas dengan jarum suntikan.
Kita juga boleh meminta nasihat petugas kesihatan tersebut untuk membimbing melakukan pernafasan yang baik kerana pernafasan yang baik dapat mengurangkan kebimbangan dan memberi perasaan yang stabil dan tenang dalam situasi yang tidak menyenangkan.
Ingat Tempat Kegemaran
Sambil melakukan pernafasan secara mendalam, tutuplah mata dan cuba bayangkan tempat-tempat yang membuatkan anda rasa tenang dan bahagia.
Ini dapat membantu anda menenangkan diri walaupun dalam situasi yang membimbangkan.
Jangan Lihat Jarum Suntikan
Kedengarannya senang untuk dilakukan, tetapi bagi individu yang takut jarum suntikan perkara ini sukar untuk dilakukan dan kerap mengalihkan pandangan terhadap jarum suntikan.
Sekiranya anda dapat alihkan pandangan, ini dapat membantu mengurangkan rasa bimbang dan takut itu.
Membayangkan Situasi Alternatif
Ketika kita mengalihkan pandangan daripada jarum suntikan dengan menutup mata, cuba bayangkan situasi yang mirip tetapi tidak mengerikan seperti itu.
Contohnya, membayangkan rakan anda memukul lengan kita kerana bertanyakan khabar atau berita gembira lain yang boleh mengalihkan fikiran anda tentang jarum.
Ini termasuk membayangkan gigitan semut atau nyamuk dan serangga lain apabila disuntik.
Diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang bimbang dengan dan takut terhadap jarum malah mabuk darah juga.
Sama-samalah kita saling membantu di era pandemik COVID-19 ini yang memerlukan pengorbanan tinggi daripada kita semua sebagai rakyat Malaysia!

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#SOP #New Zealand #program vaksinasi #vaksin #petugas kesihatan #trauma #berita palsu #suntikan #PICK #COVID-19 #imuniti kelompok
;