Jangan bertindak atas rasa tertarik, antara strategi elak berlaku curang
Astro Awani
Januari 14, 2023 12:40 MYT
Januari 14, 2023 12:40 MYT
SESIAPA pun boleh menjadi mangsa kecurangan dalam sebuah perhubungan. Dan suka atau tidak, harus diakui bahawa curang bukanlah satu kesilapan yang berlaku tanpa sengaja.
Terdapat strategi yang anda dan pasangan boleh amalkan untuk mengelakkan perselingkuhan, menurut Lucia O'Sullivan, seorang Profesor Psikologi di Universiti New Brunswick.
KENAL PASTI TARIKAN
Untuk mengelakkan berlaku curang, anda perlu mengenal pasti tarikan dan mengelakkannya.
Secara semula jadi, manusia sentiasa terdedah dengan rasa tarikan terhadap individu lain, biarpun sudah berkahwin. Untuk mengamalkan monogami, mereka perlu mengelak daripada bertindak mengikut naluri.
TIGA TAKTIK KEKAL MONOGAMI
- Mereka memberi tumpuan kepada kebaikan pasangan mereka, yang bermaksud 'melabur' secara konsisten seperti mengadakan malam temu janji dan bentuk keintiman lain
- Mereka memberi tumpuan kepada kualiti negatif atau menjengkelkan pada individu luar yang mereka dapati menarik
- Mereka berfikir tentang akibat berlaku curang dan keburukan apabila mereka tidak setia
Mereka yang mampu menguruskan tarikan terhadap kepada orang luar lebih cenderung untuk kekal setia.
"Menyukai seseorang dari jauh itu satu perkara, tetapi satu perkara lain apabila anda memberitahu individu terbabit, kerana apabila anda mula berkomunikasi, ia akan membuka pintu untuk kecurangan berlaku," kata O'Sullivan.
Apabila anda bertindak ke atas tarikan secara lisan atau fizikal, semakin besar kencenderungan untuk berlaku curang.
Tambahnya, setiap individu harus peka dengan pemikiran dan tindakan mereka bagi membolehkan mereka mengelakkan diri daripada bermain kayu tiga.