Jangan 'ber-selfie' sangat, anda mungkin sakit mental

Sinar Harian
Jun 26, 2018 08:49 MYT
Swafoto juga mempunyai kaitan dengan 'personaliti narsisistik' bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit psikiatri seperti anxiety disorder, dan ketagihan. - Gambar hiasan
SETAKAT ini berselfie atau berswafoto belum diklasifikasikan sebagai penyakit mental kronik di Malaysia bagaimanapun tahap obses masyarakat kita terhadap aktiviti trend itu semakin membimbangkan.
Pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, penyelidikan berkenaan perbuatan itu di negara ini tidak banyak dilakukan dan ia masih perlukan kajian ilmiah sebelum diklasifikasikan penyakit kerana dibimbangi rakyat di negara ini terjebak amalan itu secara berlebihan hingga boleh mendatangkan kemudaratan sama ada kepada kesan fizikal ataupun mental seseorang.
"Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, pakar psikiatri dari seluruh dunia mengklasifikasikan swafoto sebagai satu 'mental disorder' terutamanya yang mendatangkan kemudaratan.
"Setakat ini terdapat kajian dijalankan di United Kingdom dan India terhadap 225 golongan muda melalui selfitis behaviour skill bagi melihat tahap keseriusan mereka berselfie,' katanya.
Beliau yang juga Pengarah Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) berkata, melalui kajian itu, lebih 65 peratus daripada 225 orang berkenaan mengalami masalah selfitis behaviour scale (SBS) yang dikategorikan sebagai selfitis borderline, selfitis akut dan selfitis kronik.
"Selfitis borderline bermaksud mereka yang berselfie sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan tidak memuat naik gambar dalam media sosial.
"Manakala selfitis akut dikategorikan mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial, selfitis kronik pula mereka yang berswafoto lebih daripada enam kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial," katanya.
Menurutnya, berdasarkan ketiga-tiga selfitis itu, selfitis akut dan kronik akan mendorong individu itu melibatkan diri dalam aktiviti swafoto bahaya.
"Mereka juga dikaitkan dengan penyakit mental seperti kemurungan atau tekanan dan personaliti kepada umum.
"Mengikut kajian dibuat juga mendapati mereka yang berumur belasan hingga 20 tahun sering terlibat dengan gejala itu, bagaimanapun semakin meningkat usia dorongan ke arah perbuatan swafoto semakin berkurangan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan berswafoto juga mempunyai kaitan dengan 'narsisistik personaliti' bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit psikiatri seperti anxiety disorder, dan ketagihan.
"Kita tidak pasti sama ada hubung kait ini berkaitan punca atau akibat berswafoto itu sendiri. Bagaimanapun jika dilihat perbuatan berswafoto itu kemungkinan seseorang itu sudah ada penyakit atau kesan daripada sibuk berselfie akan menyebabkan komplikasi penyakit mental.
"Contohnya, bagi mereka yang mempunyai masalah penyakit was-was atau kurang berkeyakinan berkaitan penampilan, maka mereka akan berselfie kerana mahu memastikan diri kelihatan sempurna dalam alam maya," katanya.
Rusdi berkata, berswafoto juga dikaitkan dengan individu yang bangga dengan diri sendiri, mengharapkan pujian orang ramai.
#Dr Rusdi Abd Rashid #gajet #kesihatan #obses #Sakit Mental #selfie #swafoto
;