Jangan ambil suplemen diabetes sembarangan - Pakar

Umavathi Ramayah
Januari 30, 2021 18:17 MYT
Dr Wan Mohamad Wan Bebakar berkata, setakat ini tidak ada sebarang kajian saintifik yang membuktikan suplemen yang terdapat di pasaran Malaysia mampu mengawal bahkan mengubati penyakit diabetes. - Gambar hiasan/zmkstudio/shutterstock.com
KUALA LUMPUR: Jangan ambil suplemen diabetes sembarangan!
Ini kerana pengambilan suplemen yang didakwa kononnya boleh mengubati penyakit diabetes sebenarnya mengundang bahaya kepada pesakit itu.
Pakar Endokrinologi, Prof Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar berkata, setakat ini tidak ada sebarang kajian saintifik yang membuktikan suplemen yang terdapat di pasaran mampu mengawal bahkan mengubati penyakit itu.
"Masalahnya kita tidak mempunyai sebarang kajian saintifik yang membuktikan ia benar-benar berkesan.
"Produk-produk itu kadang kala boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang mengambil.
"Malah mungkin boleh merosakkan hati, buah pinggang atau organ-organ lain," katanya selepas majlis pelancaran panduan amalan klinikal Malaysia bagi mempromosikan kejayaan pendekatan dan penyelesaian untuk pengurusan diabetes yang dikendalikan secara maya di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad menegaskan tidak ada suplemen yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terbukti mengubati diabetes, mengawal atau mengurangkan tahap gula dalam darah.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan COVID-19 membawa komplikasi yang lebih serius terhadap pesakit diabetes.
"COVID-19 tidak pernah mendiskriminasikan sesiapa. Namun demikian pesakit diabetes lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang lebih serius," ujarnya.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #diabetes #suplemen #risiko #organ
;