Jalani tempoh perkenalan singkat, warga emas 78 tahun teruja bertemu jodoh semula
Faida Rahim
April 28, 2024 17:04 MYT
April 28, 2024 17:04 MYT
KUALA LUMPUR : Selepas 42 tahun bergelar ibu tunggal, Rohani Mohd Kassim akhirnya terbuka hati untuk bergelar isteri kepada Tuan Yusup Embi selepas sebulan perkenalan.
Wanita berusia 78 tahun ini tidak menyangka akan bertemu jodoh semula pada usia begini.
“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin semula. Lama bersendiri membesarkan lapan anak.
“Kami diperkenalkan oleh kawan anak. Pertemuan pertama kami, dia pandang saya dia dah berkenan. Pada awalnya saya belum mahu lagi, tetapi siapa kita untuk menolak ketetapan Ilahi. Alhamdulillah akhirnya hari ini kami disatukan sebagai suami isteri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Rohani, dia yang aktif beraktiviti di masjid berhampiran kediamannya di Cheras bersyukur kerana selepas ini memiliki teman untuk ke masjid bersama.
“Perjuangan kami sama. Mahu banyakkan beribadah pada hujung usia di masjid. Kalau sebelum ini ke masjid atau surau seorang, lepas ni dah ada teman.
“Faktor ini menguatkan lagi kenapa saya memilih dia sebagai suami. Doakan kami bahagia sampai ke Syurga. Insya-Allah,” katanya.
Rohani memiliki lapan orang cahaya mata, 46 cucu dan 15 cicit hasil perkahwinan pertama bersama Allahyarham Hamid Lomak.