Jaga solat salah satu kunci kejayaan Salah - Mufti Wilayah Persekutuan

Madiha Abdullah
April 30, 2018 17:01 MYT
Sikap Salah yang begitu menjaga solat menjadi kunci mengapa dia begitu hebat sebagai pemain bola sepak. - REUTERS
PENCAPAIAN luar biasa yang dicatat penyerang Liverpool, Mohamed Salah, didorong bukan sahaja oleh bakat yang dimilikinya, tetapi juga kerana hubungannya dengan Allah SWT.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad al Bakri, melalui entri di akaun Facebook, berpendapat sikap Salah yang begitu mengutamakan ibadat solat, menjadi kunci mengapa dia begitu hebat sebagai pemain bola sepak.
Kata Zulkifli, beliau pada mulanya bersanggapan Salah tidak berbeza dengan pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris lain yang beragama Islam, seperti Paul Pogba, Mesut Ozil dan Xhaka.
Namun tanggapannya mula berubah selepas mendengar lirik lagu I'll Be Muslim Too yang dinyanyikan oleh penyokong Liverpool.
Lagu itu menarik hatinya untuk mengenali siapa Salah dengan lebih dekat, dan menerusi pembacaan dan pemerhatian, Salah bukan semata-mata Islam pada nama, sebaliknya benar-benar mengamalkan ajaran agama, terutamanya dalam bab solat.
"Melihat kepada latar belakang hidupnya, benarlah disiplin solat telah berjaya mengubah hidupnya menjadi apa yang anda lihat hari ini.
"Dia akan pergi lebih jauh dan cemerlang dengan sikapnya yang memelihara hak Allah SWT sebagai Tuhan dan tuntutan sebagai hamba-Nya.
"Sebenarnya, itulah juga yang ingin disampaikan oleh Salah kepada semua penyokong Liverpool yang beragama Islam, iaitu kita akan berjaya dengan mengutamakanNya dalam semua perkara," tulis Zulkifli.
Salah mencatat prestasi luar biasa musim ini di Anfield, dengan mencatat 43 gol peribadi setakat ini. Dia juga menjadi nadi dalam membantu kejayaan Mesir layak ke Piala Dunia di Rusia, selepas kali terakhir negara tersebut layak ke kejohanan bola sepak terbesar itu pada 1990.
#Allah #bola sepak #Facebook #Islam #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Mesir #Mohamed Salah #Muslim #Piala Dunia #Russia #solat
;