Jaga-jaga dengan tetapan privasi di aplikasi media sosial
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 22, 2018 11:53 MYT
Mac 22, 2018 11:53 MYT
Masyarakat disarankan agar sentiasa peka dengan tetapan privasi (privacy settings) di semua aplikasi media sosial.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Firma Nervesis, Azhar K Mustapha, ini kerana masyarakat mudah mendedahkan maklumat peribadi pada platform media sosial.
“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menetapkan profil media sosial kepada tetapan privasi agar maklumat yang disalurkan dalam platform tersebut tidak disalah gunakan.
“Seperti contoh, jangan sekali mendedahkan di mana kita berada kepada tontonan umum menerusi platform media sosial untuk mengelakkan perkara buruk dari berlaku.
“Ya, memang tetapan privasi dalam media sosial mengambil masa yang lama untuk meniliti satu persatu, tetapi untuk jangka masa panjang, ini adalah untuk keselamatan individu,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI pada Rabu.
Terdahulu, Facebook hangat diperkatakan setelah sebuah firma analisis data, Cambridge Analyitica dilaporkan menyalah guna data peribadi sekali gus melanggar Polisi Platform aplikasi media sosial itu.
Secara amnya ia melibatkan data 270,000 pengguna. Namun oleh kerana firma itu boleh akses maklumat rakan-rakan pengguna, ia kini melibatkan jaringan data melebihi 50 juta pengguna Facebook.
Tambah Azhar, jika kebocoran data melalui Facebook terjadi, ia adalah di luar kawalan masyarakat kerana Facebook mempunyai hak untuk mengetahui maklumat peribadi kita.
“Adalah di luar kawalan kita untuk mengetahui bahawa aplikasi Facebook akan memberi data kepada pihak ketiga, itu adalah masalahnya kerana kita sebagai pengguna telah memberi kepercayaan kepada aplikasi tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata syarikat itu telah melakukan 'kesilapan' dalam menguruskan data lebih 50 juta penggunanya.
Justeru, dia berjanji untuk mengambil langkah lebih tegas termasuk menghadkan akses pembangun aplikasi dari mendapatkan maklumat dari platformnya.
Zuckerberg pada Isnin telah dipanggil oleh Ahli Parlimen United Kingdom (UK) untuk memberi jawapan berhubung kontroversi Cambridge Analytica yang melibatkan pendedahan jutaan data pengguna laman media sosial itu.
Ketua Jawatankuasa Parlimen UK, Damian Collins dalam satu surat berkata, beliau mahu Zuckerberg menjawab tentang "kegagalan" yang sedang melanda Facebook yang melibatkan data peribadi pengguna.
#Astro Awani
#Azhar K Mustapha
#Facebook
#keselamatan
#Ketua Pegawai Eksekutif Firma Neversis
#Mark Zuckerberg
#media sosial
#privasi