Jaga-jaga dalam tempoh dua waktu ini, kritikal kerana risiko berlaku serangan jantung
Agensi
Januari 15, 2022 15:37 MYT
Januari 15, 2022 15:37 MYT
SUATU ketika dahulu penyakit dan serangan jantung hanyalah kita anggap sebagai penyakit bagi mereka yang telah lanjut usia dan tua.
Namun dengan peredaran masa semakin ramai yang kini kurang menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakanan diet yang seimbang menyebabkan lebih ramai individu yang jauh lebih muda berdepan penyakit berisiko ini.
Kini semakin ramai orang muda terutamanya dalam kalangan lelaki yang berdepan risiko mendapat serangan jantung. Lebih menakutkan ramai yang sebenarnya tidak sedar bahawa mereka mempunyai penyakit jantung.
Disebabkan itulah ia juga dikenali sebagai ‘silent killer’ di kalangan warga muda berusia awal 30 hingga lewat 40-an.
Bagi anda yang berisiko seperti pesakit darah tinggi, kencing manis, perokok, individu yang mengalami stres dan kurang tidur, pastikan anda peka dengan waktu-waktu paling kritikal sebagaimana yang pernah dikongsikan dikongsikan Public Health Malaysia ini.
Terdapart dua waktu kritikal yang perlu anda berikan perhatian. Ini kerana ia adalah waktu paling bahaya dan kritikal jika berlakunya serangan jantung atau strok. Mengapa dua waktu ini dianggap cukup kritikal? Ikuti perkongsian mereka di bawah!
———————————————————————————
Awal pagi dan waktu terakhir fasa tidur merupakan antara waktu yang paling BAHAYA dan kritikal sekiranya berlaku serangan jantung atau strok.
Pada waktu ini, hormon kortisol yang dirembeskan oleh kelenjal adrenal akan memuncak menyebabkan tekanan darah, paras gula dan degupan jantung bertambah laju.
Perkara ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan oksigen dan penyempitan saluran darah termasuk saluran darah di jantung.
PEMBENTUKAN KETULAN
Ketika ini, platlet dan bahan yang merangsang proses pembentukan ketulan darah juga masih terenap di dinding saluran darah menyebabkan pembentukan ketulan darah beku mudah berlaku.
Risiko meningkat berganda bagi pesakit darah tinggi, kencing manis, perokok dan individu yang mengalami stress serta kurang tidur.
Sekiranya anda tahu sesiapa mengalami gejalan serangan jantung pada waktu kritikal ini, dapatkan rawatan segera.
Bagi pesakit kencing manis dan darah tinggi, pastikan tekanan darah terkawal pada waktu kritikal ini.
Tanyalah mana-mana doktor jantung sekarang. Penyakit jantung bukan lagi penyakit orang tua sahaja.
Kita sudah mula mendengar, serangan jantung berlaku pada seawal umur 20-an, dan menjadi lebih kerap pada umur 30-an.
Semoga perkongsian ini boleh memberikan manfaat kepada anda. Jaga kesihatan, selalu bersenam dan makanlah dengan sihat.
Nescaya penyakit jantung akan menjauhi anda. Jaga kesihatan, semua!
Artikel asal ini diterbitkan di portal Maskulin.