Jadikan ujian kematangan minda dan emosi antara syarat perkahwinan
Muzaffar Syah Mallow
November 16, 2018 09:39 MYT
November 16, 2018 09:39 MYT
Pihak kerajaan disarankan mewujudkan satu ujian bagi menguji tahap kematangan minda dan emosi setiap pasangan sebelum membenarkan mereka untuk berkahwin.
Ujian sebegini penting bagi memberi pendedahan terhadap setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mereka mengenai tahap kematangan minda dan emosi pasangan yang mereka ingin kahwini.
Sekiranya mereka masih ingin meneruskan perkahwinan mereka setelah mengetahui tahap kematangan minda dan emosi pasangan maka terpulanglah kepada mereka.
Yang paling penting disini ialah dengan adanya ujian sebegini dilakukan sekurang–kurangnya setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkawinan dapat ketahui tahap kematangan minda dan emosi pasangan yang ingin dijadikan sebagai teman hidup mereka sehingga akhir hayat.
Cadangan ujian ini juga dilihat penting bagi mengurangkan kadar perceraian yang ada dalam negara kita.
Baru–baru ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh ada menyatakan kebimbangannya berhubung dengan kadar kes perceraian yang difailkan oleh pasangan dalam negara kita diatas faktor yang remeh.
Beliau berkata berdasarkan Kajian Penduduk Malaysia Kelima yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2014 mendedahkan lebih satu pertiga pasangan bagi usia perkahwinan di bawah usia lima tahun, berakhir dengan perceraian.
Katanya peratusan punca perceraian yang direkodkan bagi lelaki adalah kerana tidak ada persefahaman (56.2 peratus), isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mertua atau ipar (10 peratus).
Manakala wanita pula, soal tiada persefahaman mencatat sebanyak 38 peratus, suami curang (20.5 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).
Katanya, berdasarkan data daripada Jabatan Kehakiman Syariah, banyak perceraian yang difailkan pasangan muda terjadi atas faktor yang remeh.
Antaranya, isteri suka ikuti rombongan, isteri suka basuh baju pada waktu malam, suami tidak suka isteri makan dalam kereta dan berbeza fahaman politik. Punca perceraian lain gaji suami rendah, tidur berdengkur.
Jika diteliti punca–punca penceraian yang dinyatakan banyak berkait rapat dengan faktor kematangan mental dan emosi pasangan itu sendiri.
Perceraian adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku sekiranya terdapat persefahaman dan kematangan yang tinggi dikalangan pasangan yang melangsung perkahwinan.
Kematangan dan kepandaian adalah dua perkara yang berbeza.
Seseorang itu mungkin pandai dengan memiliki latar pendidikan yang baik serta sempurna, namun tidak bermakna mereka memiliki tahap kematangan yang sama tinggi dengan kepandaian yang mereka miliki.
Secara amnya kematangan bermaksud memiliki kemampuan untuk membezakan antara perkara baik dan buruk.
Kematangan didalam konteks rumahtangga bermaksud pasangan suami dan isteri memiliki sikap toleransi yang tinggi, kesabaran, hormat–menghormati, bantu-membantu, percaya–mempercayai dan lain–lain lagi.
Kematangan disini juga merangkumi aspek pemahaman terhadap tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh suami dan isteri.
Suami memiliki tugas dan tanggungajwab mereka. Isteri juga memiliki tugas dan tanggungajwab mereka. Sekiranya mana – mana pihak tidak memenuhi segala aspek kematangan ini agak sukar untuk perkahwinan mereka kekal lama.
Dalam perkahwinan juga terdapat pelbagai dugaan dan cabaran, sekiranya pasangan tidak memiliki tahap kekuatan minda dan emosi yang sepatutnya maka agak sukar untuk mereka hidup bahagia serta mempertahankan rumahtangga mereka.
Sekiranya perceraian berlaku, impaknya bukan sahaja berlaku terhadap diri pasangan itu sendiri malah akan turut memberi kesan terhadap anak – anak mereka serta seluruh ahli keluarga mereka.
Dalam perceraian, anak - anak akan menjadi mangsa utama terutama terhadap jiwa dan perasaan mereka.
Di antara kesan - kesan perceraian terhadap anak-anak ialah kehilangan kasih sayang dari ibu dan bapa.
Contohnya apabila hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri, maka anak tersebut akan merasa kehilangan kasih sayang dari seorang ayah dan sebaliknya.
Kadangkala anak–anak ini juga terpaksa berpisah dari adik–beradiknya. Anak–anak mangsa perceraian ini juga akan mudah rasa bersalah, malu serta kurang rasa keyakinan terhadap diri sendiri. Adalah menjadi kebimbangan anak – anak mangsa perceraian ini terlibat dengan masalah sosial dan jenayah.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan memiliki tahap kematangan mental dan emosi yang sesuai dan bukan hanya memilik kematangan dari aspek fizikal atau persediaan aspek kewangan sahaja.
Tahap kematangan terhadap mental dan emosi ini boleh dilakukan melalui proses ujian tahap kematangan seperti yang telah dicadangkan diatas.
Ujian tahap kematangan mental dan emosi ini boleh dilakukan oleh pihak berkaitan dengan bidang terbabit seperti kaunselor atau pakar perubatan yang bersesuaian.
*Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI