'Itu kerja lelaki. Ini kerja perempuan'. Siapa boleh ubah persepsi ini?
Dania Zainuddin
Disember 22, 2018 10:31 MYT
Disember 22, 2018 10:31 MYT
"ITU kerja lelaki. Ini kerja perempuan."
Sama ada kita bersetuju atau tidak, pasti kita pernah mendengar orang melontarkan kata-kata ini, dan ia memberi reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat kita.
Namun, satu laporan oleh Oxford Economic Papers menunjukkan bahawa seorang bapa yang mempunyai anak perempuan boleh mengubah persepsi tradisional mengenai peranan lelaki dan wanita dan tanggungjawab masing-masing.
Fenomena ini dipanggil 'Mighty Girl Effect' iaitu perasaan empati yang wujud dalam diri si bapa ketika melihat cabaran yang perlu ditempuhi anak perempuannya.
Kajian itu melibatkan maklum balas lebih daripada 5,000 lelaki yang menilai sama ada mereka setuju pada pernyataan: 'Tugas suami adalah untuk mencari nafkah' dan 'Tugas isteri adalah untuk menjaga rumah dan keluarga'.
Data yang diperoleh itu dikumpulkan oleh Panel Kaji Selidik Isi Rumah British dari tahun 1991 hingga 2012.
Hasil kajian Jabatan Polisi Kesihatan London School of Economics (LSE) mendapati fenomena itu paling terkesan ketika anak perempuan itu sedang bersekolah.
"Menjadi ibu bapa kepada anak perempuan yang masih bersekolah mencetuskan kemungkinan lebih rendah untuk mengikuti cara tradisional, iaitu 'bapa bekerja, ibu di rumah'.
"Menjalani hidup dengan anak perempuan memberi bapa peluang untuk melihat sendiri pengalaman dan perspektif sebagai seorang perempuan," kata penyelidik dan juga penulis bersama laporan itu, Dr Joan Costa-i-Font.
Namun, kajian juga mendapati tidak ada kesan signifikan jika individu itu sudah memiliki pendirian kukuh mengenai feminisme.