Itik salai Kuala Pilah yang 'lejen' kini kian sukar dibeli golongan B40

Raja Hisyam Raja Zaid
November 8, 2022 10:10 MYT
Itik salai di daerah Kuala Pilah memang cukup dikenali sejak dahulu kerana keistimewaan rasanya yang tersendiri. - Astro AWANI
KUALA PILAH: Andai disebut sahaja itik salai Negeri Sembilan, pasti ramai penggemar sedia maklum Kuala Pilah merupakan lokasi paling popular yang menyajikan menu itu.
Deretan gerai menjual itik salai di sepanjang jalan ke daerah itu membuktikan peniagaan tersebut masih tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
Sepanjang masa, gerai-gerai itik salai sentiasa menjadi tumpuan dan mendapat permintaan daripada orang ramai khususnya penggemar juadah itu.
Itik salai terkenal sebagai menu tradisi asli Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat pepatih.
Walaupun mungkin ia boleh juga didapati di daerah lain, namun ramai yang mungkin terpaksa mengakui itik salai di daerah tersebut merupakan antara yang terbaik dan masih kekal dengan keaslian asal rasanya yang telah turun temurun tersohor.
Pada persekitaran hari ini, meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk faktor ekonomi yang mempengaruhi kos harga barang yang ada kalanya membebankan, namun sebagai peniaga yang menjadikan jualan itik salai sebagai punca rezeki mereka tetap mengharunginya dengan tabah.
Ada yang merungut jumlah pendapatan sudah tidak lagi seperti dahulu, bahkan ada juga yang terpaksa mengehadkan jumlah jualan disebabkan kekangan kos harga bahan mentah yang terlalu mahal.
Tidak ketinggalan, ada peniaga yang mengakui sebahagian pelanggan mereka sudah semakin berhati-hati dalam berbelanja.
Itu perkara biasa yang mereka sedang lalui dan menanti-nanti andai ditakdirkan akan muncul jua saat kemeriahan jualan itik salai mereka yang tidak menang tangan untuk disidai di hadapan gerai mereka seperti mana yang pernah dilalui satu ketika dahulu.
Mendasari suara hati mereka, ada yang mengakui pernah menikmati saat di mana jualan mereka mencecah sehingga 300 ekor itik salai terjual sehari terutamanya di musim cuti atau musim perayaan, ataupun setidak-tidaknya mampu terjual sekitar 30 hingga 50 ekor sehari pada hari biasa.
Malah ada juga yang menjadikan itik salai mereka sebagai rujukan sehingga dibawa ke Jepun kerana keenakan rasanya.
Lumrah dan adat orang berniaga, ada untung ada ruginya.
Kini mereka terpaksa menerima peredaran masa dan ekonomi yang telah mengubah graf jualan mereka sehingga menjunam dan hanya mampu menjual sekitar 15 ekor sahaja sehari.
Norafazreen Kamaruzaman, 22, misalnya yang mewarisi perniagaan itu daripada keluarganya mengakui, keadaan hari ini jauh berbeza disebabkan tekanan ekonomi semasa.
Bagi Norafazreen, itu merupakan hakikat yang perlu diterima sebagai seorang peniaga.
“Dulu kalau sehari tu 30 ekor memang tak lari (terjual) kalau hari biasalah. Sebab masa itu harga itik agak terkawal lagi iaitu RM25 seekor. Sekarang harga itik sudah naik mendadak dan kita terpaksa menjual dalam RM40 hingga RM50 seekor,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.
Sementara itu, peniaga itik salai, Paridah Abd Rauf, 53, yang telah berniaga sekitar daerah itu sejak awal 90-an pula mengakui, walaupun terpaksa berdepan dengan harga pasaran yang kian meningkat, namun, peminat juadah tersebut tetap datang mencarinya di gerai jualannya walaupun tidak serancak dahulu.
Ini kerana, kata Paridah, keistimewaan dan resepi masakan budaya daerah itu menjadikan itik salai mereka berbeza dengan daerah lain.
“Antaranya ialah Itik Salai Terachi di daerah Kuala Pilah ini, ia berasaskan kayu api pokok getah. Kadang-kadang kita guna kayu pokok cenerai atau kadang-kadang tempurung.
“Saya pernah didatangi oleh wartawan surat khabar daripada Jepun dah tiga kali dia ambil produk saya dan dia cuba masak dan mengakui itik salai sini memang terbaiklah. Jadi dia bawa produk saya ke sana dan dia mempromosikan (itik salainya) di sana,” ujar Paridah.
Malah jelasnya harga itik salai ketika ini mampu mencecah sehingga RM60 seekor bergantung kepada saiz yang dijual membuatkan ia agak membebankan pelangganya yang tergolong dalam kalangan B40.
Kenaikan harga itu, jelasnya, tidak dapat dielakkan berikutan pelbagai faktor yang mempengaruhi termasuk bahan mentah seperti harga dedak dan sebagainya.
Bagaimanapun, Paridah tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh ketika ini dan berharap keadaan tersebut tidaklah terlalu lama untuk mereka bertahan seperti sekarang.
Dengan demam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang dirasakan di seluruh negara ketika ini, peniaga kecil seperti mereka ini berharap, satu mekanisme perubahan untuk melihat taraf ekonomi yang lebih mampan mampu dijelmakan oleh pemimpin yang bakal terpilih.
Bagi golongan peniaga, itu adalah tugas yang perlu difikirkan oleh pemimpin, bukan hanya politik semata-mata.
#golongan B40 #itik salai #Negeri Sembilan #itik salai Kuala Pilah
;