Isu sara diri pelajar IPT: Pelajar dinasihat berdikari, bersuara bila ada masalah
Madiha Abdullah
Januari 10, 2016 20:06 MYT
Januari 10, 2016 20:06 MYT
Dua tiga hari ini, keluhan pelajar institusi pengajian tinggi tentang kos sara diri semakin mendapat perhatian.
Ia adalah susulan laporan Harian Metro tentang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengalami kesukaran untuk menyara kehidupan seharian sehingga menjejaskan kesihatannya.
Pelbagai reaksi netizen dapat dilihat berhubung isu ini. Seorang pengguna Facebook dengan nama Roslan Ab Hamid berpendapat, pelajar yang mengalami masalah kewangan seharusnya peka dengan situasi diri sendiri dan bersuara agar masalah mereka diketahui.
Dalam masa yang sama, pelajar juga perlu melakukan sesuatu untuk mengeluarkan diri mereka dari masalah, seperti melakukan pekerjaan secara separuh masa.
Cerita Roslan, premis perniagaan di dalam kampus juga ada yang sedia menerima pelajar sebagai pekerja, namun tiada yang datang memohon.
Roslan menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai contoh dan menyifatkan mereka berdikari kerana ramai di kalangan mereka yang bekerja separuh masa.
Manakala seorang lagi pengguna Facebook, Khairul Muhaimin Muhammad, berkongsi beberapa idea yang boleh dipraktikkan pelajar IPT untuk mengelakkan daripada masalah sedemikian.
Antaranya, berniaga atas talian, menjual buku atau nota yang sudah tidak digunakan, dan membuka perkhidmatan percetakan di asrama.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengajian Tinggi dilaporkan sudah menjalankan siasatan dan akan memulakan usaha untuk mengesan pelajar yang mengalami masalah kewangan di IPT.