Isu Samsung Note 7, 'rahmat' tersembunyi buat Apple?
Madiha Abdullah
September 3, 2016 13:30 MYT
September 3, 2016 13:30 MYT
SUSULAN penghentian penjualan sementara telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 gara-gara insiden bateri peranti itu yang dilaporkan meletup, nama pesaing terdekat Samsung, iaitu Apple, turut menjadi bualan.
Isu yang dihadapi oleh Samsung itu disebut-sebut oleh sesetengah pihak sebagai satu rahmat tersembunyi buat syarikat gergasi teknologi, Apple Inc.
Biarpun bukan sesuatu yang disengajakan, namun ramai melihat apa yang berlaku itu sebagai memberi manfaat kepada Apple, terutama sekali dengan kemunculan iPhone 7 yang dijangka akan dilancarkan pada 7 September.
Tetapi dalam masa yang sama, Apple juga tentunya turut merasakan tekanan dalam memastikan inovasi terbaharu mereka itu tidak akan mengalami masalah dan menepati selera pengguna semasa.
Jika sebelum ini ramai yang merasakan iPhone 7 akan 'membosankan' namun dengan kontroversi yang melanda Samsung, ramai pula yang tidak sabar untuk melihat apa yang bakal ditawarkan iPhone 7.
Pun begitu, portal CNBC News yang memetik kenyataan seorang penganalisis aplikasi, Daniel Newman, pula melaporkan, Apple tetap punya isu tersendiri yang perlu diselesaikan jika mahu produk terbaharu mereka itu bersaing dengan Samsung.
"Apa yang penting adalah apa yang ditawarkan telefon berkenaan, bukan jenamanya.
"Sistem operasi Android berjaya menarik perhatian kerana ia mampu memberikan pengguna apa yang diinginkan mereka. Jika iPhone 7 yang dijual dengan harga yang tinggi gagal memuaskan hati pengguna, ia tetap akan mempunyai masalah," kata Newman, seperti yang dipetik portal CNBC.
Apple akan mengadakan satu majlis khas di San Fransisco 7 September ini dan ia dijangka untuk melancarkan siri terbaharu iPhone.