Isu 'PhD' Azizan Osman: Netizen pamer kepakaran buat 'siasatan'

Madiha Abdullah
Oktober 8, 2016 19:40 MYT
Respon yang diberikan Azizan dan Richworks sebelum ini nampaknya belum dapat memuaskan hati netizen.
NAMPAKNYA minat masyarakat terhadap kontroversi yang melanda pakar motivasi dan penceramah, Azizan Osman, masih belum berakhir.
Selepas kenyataan balas yang dikeluarkan Kumpulan Syarikat Richworks beberapa hari lalu, pengguna laman sosial menggunakan semua pengetahuan teknologi yang mereka miliki untuk membuat 'siasatan' terhadap kebenaran kenyataan tersebut.
Perkara pertama yang menarik perhatian mereka adalah status Gordon University, Bradenton, Florida, di mana Azizan dikatakan lulus dengan ijazah Doktor Sains (Metafizik).
Carian netizen menemui laman web universiti itu, bagaimanapun tiada alamat diberikan.
Logo universiti berkenaan juga sama dengan sebuah lagi universiti, Harris University.
Harris University terletak di 1903 60th Place E. #M5311, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat.
Carian di Google Map menggunakan alamat itu pula menunjukkan lokasi gudang sebuah syarikat.
Netizen juga mempersoalkan mengapa alamat domain Gordon University berakhir dengan "edu.us". Ini kerana, kesemua domain universiti di Amerika Syarikat berakhir dengan "edu" sahaja.
Pencarian netizen di Google, menggunakan nama Gordon University, menjumpai satu lagi institusi pendidikan di Amerika Syarikat yang menggunakan nama tersebut, tetapi dikenali dengan nama Gordon College.
Gordon College, bagaimanapun, terletak di Wenham, Massachusetts.
Isu ini lebih panas selepas tersebarnya sekeping surat yang didakwa dari University of Hertfordshire, menafikan Azizan bakal dianugerahkan Doktor Falsafah dalam konvokesyen mereka yang akan datang.
Seorang pengguna Twitter kemudiannya re-tweet surat berkenaan ke akaun Twitter universiti tersebut, dan pihak universiti mengesahkan bahawa surat itu sememangnya dari pihak mereka.

University of Hertfordshire, UK mengesahkan surat mereka yang menyangkal dakwaan @drazizanosman. Mohon maaf dan move on sajalah bro... pic.twitter.com/MOMlj7Qc6r

— Asrul Muzaffar (@asrulmm) October 7, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

@JumatAzri I can confirm the letter is genuine. ^JP

— Uni of Hertfordshire (@UniofHerts) October 6, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

@UniofHerts thank you for your reply.. really proud of your prestige uni.

— Azri Jumat (@JumatAzri) October 6, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Namun tidak dapat disahkan jika akaun Twitter @uniofherts adalah akaun Twitter rasmi universiti berkenaan.
Sebelum ini, Universiti Malaya menafikan ada menganugerahkan ijazah kehormat kepada Azizan.
Richworks kemudian membuat kenyataan bahawa pihak mereka diperdaya oleh pihak tertentu yang tidak mewakili universiti itu.
Kenyataan itu juga menyebut Azizan memiliki ijazah Doktor Sains (Metafizik) dari Gordon University, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat yang diperoleh pada tahun 2009.
Dia juga dijangka menamatkan pelajaran dan memenuhi semua syarat untuk dianugerahkan Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom.
Sepanjang kontroversi ini, usaha Astro AWANI untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada Azizan dan Richworks tidak berjaya.
#Azizan Osman #Facebook #netizen #PhD #Richworks International Sdn Bhd
;