Istiadat Pertabalan Raja Charles III: Trifle strawberi dan halia Chef Adam Handling menu pencuci mulut para tetamu
Faida Rahim
Mei 6, 2023 17:34 MYT
Mei 6, 2023 17:34 MYT
LONDON: Hidangan trifle strawberi dan halia dari Chef terkenal Britain, Adam Handling dipilih menjadi menu istimewa sempena istiadat pertabalan Raja Charles III pada hari ini.
Memetik BBC, menu istimewa ini dipilih menjadi hidangan pencuci mulut para tetamu yang hadir di Westminster Abbey, pagi ini.
Terdahulu, menu Swiss roll lemon Jemma Melvin dan trifle Amaretti dipilih sebagai pencuci mulut rasmi ketika sambutan Jubli Platinum Elizabeth II pada tahun 2022, yang mana hidangan itu mengalahkan 5,000 penyertaan dari seluruh negara.
Hidangan trifle memiliki sejarah panjang apabila sering mendapat permintaan di parti jalanan, dan resipi Adam Handling, yang sedia dihidang sesuai untuk dimakan lapan orang menjadi menu sempurna di majlis santapan Istiadat Pertabalan.
Apabila ditanya mengenai inspirasinya untuk hidangan tersebut, Handling memaklumkan trifle merupakan menu pencuci mulut yang sarat dengan nostalgia.
"Saya rasa trifle adalah salah satu pencuci mulut yang sangat nostalgik bagi ramai orang, jadi ini adalah interpretasi moden saya mengenai kenangan kanak-kanak itu dengan menggunakan bahan-bahan terbaik dari Britain - strawberi Scotland, kek Yorkshire Parkin, dan telur serta tenusu dari petani Britain,” katanya.
Untuk menjadikan sambutan istiadat pertabalan penuh dengan keseronokan, Handling menitipkan nasihat kepada orang ramai untuk sediakan trifle sehari sebelumnya dan hanya tambah krim pada pagi hari yang hendak dimakan.
"Hanya kerana anda memasak tidak bermakna anda tidak boleh menikmati masa yang menyeronokkan!" katanya.