Isteri penasihat terbaik suami! Tiada yang lebih mengenali suami melainkan isteri
Pa and Ma
September 7, 2021 12:00 MYT
September 7, 2021 12:00 MYT
KENAPA kena dengar nasihat isteri lebih daripada orang lain? Kerana nasihat seorang isteri adalah satu-satunya nasihat yang tepat, betul dan sesuai dengan kita (suami). Tiada yang lebih mengenali suami melainkan isterinya.
Bahkan lebih kenal daripada mak sendiri! Kerana kita selalu tidak akan tunjuk perangai sebenar kepada orang tua bagi menjaga hati mereka.
Buruk baik diri kita ini hanya isteri sahaja yang tahu. Dia hadap setiap hari 1,001 kelakuan kita tanpa mengeluh. Walaupun dia nampak kelemahan kita, tetapi masih tetap setia dengan kita.
Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut isteri tidak lain tidak bukan hanya untuk kebaikan keluarga sendiri.
Dengarlah semasa isteri masih ada hati memberi nasihat. Di saat isteri tiada hati lagi untuk memberi nasihat, nescaya kita sudah tersangat rugi. Kita sudah kehilangan 'penasihat' terbaik yang telah dicipta untuk kita!
Tiada yang lebih baik memberi nasihat daripada isteri bahkan lebih baik daripada nasihat ibu dan ayah kerana ada ibu bapa yang tidak begitu kenal anak dia yang sudah dewasa.
Tiada yang lebih jujur memberi nasihat daripada isteri bahkan adik beradik sekalipun kadang kala tidak sampai hati mahu tegur kita takut nanti kita berkecil hati.
Tiada yang lebih tepat memberi nasihat berbanding isteri bahkan kawan-kawan sekalipun akan berat sebelah sebab mereka pasti utamakan keluarga mereka dahulu.
Dengan orang lain kita boleh berlakon tetapi dengan isteri tidak. Dia tahu semuanya.
Jangan bangga sangat kalau ada kawan-kawan selalu puji kita baik, rajin, dan puji kita ini calon suami mithali kononnya. Selagi kata pujian itu tidak keluar daripada mulut isteri sendiri, maknanya pujian itu tidak 100 peratus benar!
Tiada yang lebih ikhlas puji suami sendiri melainkan isterinya. Oleh itu, nasihat saya kalau mahu dapatkan nasihat yang paling ikhlas dan paling berniat baik, orang pertama yang anda harus cari adalah isteri sendiri. Wallahu A’lam…
Sumber : Omisu
Artikel asal disiarkan di Pa & Ma.