Isteri masih terima bunga dari mendiang suami sejak 8 tahun lalu
Agensi
Februari 17, 2020 20:17 MYT
Februari 17, 2020 20:17 MYT
WALAUPUN jasadnya sudah lapan tahun terkubur, namun cinta dan kasih sayangnya tetap diterjemah tanpa batasan.
Rich Cox tetap menghantar jambangan bunga kepada isterinya, Tracey, setiap kali tibanya ulang tahun wanita itu, yang hanya berselang sehari dengan Hari Kekasih.
Kali pertama menerimanya pada tahun 2013, Tracey mengakui cukup terkejut dengan perancangan mendiang suaminya.
"Ia membuatkan saya beremosi.
"Memang menyedihkan, tetapi saya gembira kerana ia membuatkan saya tahu dia sentiasa bersama saya," kata Tracey kepada CNN.
Penghantaran bunga itu tidak terhenti di situ. Setiap tahun, akan ada jambangan bunga bersama nota cinta dikirimkan kepadanya.
"Walaupun awak tidak nampak, tetapi saya sentiasa berada di sisi awak," itu yang tertulis pada nota yang dikirim pada 2018.
Setiap tahun, mesej pada nota itu berbeza, kata Tracey.
Selama 26 tahun berkahwin, Tracey menyifatkan Rich sebagai lelaki yang penyayang, mengambil berat dan sensitif.
"Dia lelaki yang akan memberi kejutan dan beri saya bunga tanpa ada sebab pun," tambah Tracey yang kini tinggal di Kentucky, Amerika Syarikat bersama empat anaknya.
Rich meninggal dunia pada 2012 pada usia 53 tahun akibat kanser tekak.