Isteri juga boleh pukul suami?

Hasimi Muhamad
Mac 26, 2019 20:05 MYT
Pasangan perlulah bijak mencari jalan penyelesaian dengan baik melalui komunikasi dua hala yang berkesan. -Gambar hiasan
DIRIWAYATKAN oleh Abu Daud dari Abu Hurairoh bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya aku (dibolehkan) memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada seseorang lainnya pastilah aku perintahkan para isteri untuk bersujud kepada para suaminya karena hak yang diberikan Allah kepada para suami itu terhadap para isterinya.”
Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami.
Justeru, memukul atau melakukan keganasan terhadap suami bukan suatu perkara yang normal dalam norma masyarakat dan Islam.
Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun tahun lepas.
Kenapa perkara ini berlaku? Dalam Islam, memukul isteri dibenarkan bagi tujuan mengajar. Ini dikhaskan kepada isteri yang nusyuz atau derhaka.
Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil Noor, tiada garis panduan yang menyatakan bahawa isteri boleh memukul suami.
Ini kerana, katanya perbuatan tersebut boleh jatuh hukum derhaka.
“Perkara ini saya rasa mungkin ada faktor-faktor seperti reaksi. Sebahagian golongan wanita dizalimi oleh kaum lelaki, namun (itu) bukanlah alasan untuk kita merawat penyakit dengan penyakit (melawan semula perbuatan tersebut).
“Perlu ada nilai kalau tak puas hati dengan suami, pergi mahkamah. Kalau perbuatan pukul itu mencederakan maka ia termasuk dalam pukulan yang terlarang,” katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Tetapi sepertimana suami dibenarkan memukul isteri, maka dalam situasi-situasi tertentu, adakah isteri juga boleh memukul suami jika mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan agama atau menyakiti golongan wanita?
Menjawab persoalan itu, Ustaz Fauwaz berkata, “Ia boleh mendapat kebenaran tetapi perkara itu haruslah melalui mahkamah. Mahkamah yang akan memutuskan hukuman terhadap suami, bukan isteri yang melakukan (pukul).
“Jadi, isteri ada hak untuk menasihati dan mengadu di mahkamah.”
Beliau menjelaskan kejadian isteri memukul suami dipercayai ekoran tindak balas terhadap keganasan yang membabitkan kaum lelaki, dan seni mempertahankan diri yang dipelajari oleh golongan wanita.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kebanyakan kes keganasan rumah tangga berlaku disebabkan oleh salah faham atau pertengkaran.
“Ya kerana isteri sekarang ada macam-macam ilmu (seni pertahankan diri) dan pendedahan mereka terhadap ilmu pertahanan diri ini satu benda yang baik sebenarnya, tetapi kalau ia disalah guna tidak baik.
“Jadi kita minta pihak suami pun tidak memukul isteri dan isteri tidak memukul suami. Jika berlaku juga keadaan isteri pukul suami, cukuplah si suami hanya mempertahankan diri (tetapi) jangan sampai mencederakan,” katanya.
Ironinya, dalam keharusan suami memukul isteri, janganlah sampai ‘kebenaran’ itu dicabuli. Begitu juga dengan isteri, resmi hidup berumah tangga, akan berlaku salah faham.
Namun, kita perlulah bijak mencari jalan penyelesaian dengan baik melalui komunikasi dua hala yang berkesan.
Jangan lupa, masing-masing ada kelemahan tetapi hendaklah melihat kepada persamaan yang ada pada suami isteri.
#Islam #Jabatan Kebajikan Masyarakat #keganasan #pukul suami #rumah #Ustaz Fauwaz
;