Ireland giat promosi lokasi Star Wars: The Force Awakens sebagai destinasi pelancongan

Madiha Abdullah
Januari 12, 2016 08:50 MYT
Pulau ini mula meniti di bibir orang ramai selepas ia menjadi lokasi Planet Ahch-To seperti yang dipaparkan di pengakhiran filem tersebut.
DAHULU, tiada siapa yang peduli dengan pulau kecil ini.
Pulau Skellig Michael kini menjadi tumpuan, malah pelancong dan pengembara dari seluruh dunia mula menjejaki keindahannya.
Terletak di dalam daerah Kerry, Ireland, pulau ini mula meniti di bibir orang ramai selepas ia menjadi salah satu lokasi filem paling berjaya 2015, Star Wars: The Force Awakens.
Ia dijadikan set penggambaran untuk menterjemahkan Planet Ahch-To, seperti yang dipaparkan di pengakhiran filem tersebut.
Dan penerbit merancang menjadikannya lokasi utama untuk sekuel Star Wars seterusnya.
Sedar dengan potensi yang dimiliki Skellig Michael, kerajaan Ireland kini giat menjalankan promosi untuk menjadikan pulau itu sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka dunia.
Laman web ireland.com memperincikan kelebihan pulau ini, antaranya seperti keindahan yang boleh ditemui pengembara, selain aktiviti-aktiviti yang ditawarkan sepanjang berada di situ.
Malah Kementerian Pelancongan Ireland menerusi projek Discover Ireland, bekerjasama dengan penerbit The Force Awakens untuk menerbitkan video belakang tabir, yang memaparkan pengarah, JJ Abrams bercerita tentang kelebihan pulau berkenaan.
Video tersebut diharap dapat menarik perhatian dunia untuk menjelajahinya.
Program Tourism Ireland 2016 pula dijangka membawa kira-kira 8 juta pelancong ke pulau itu, tahun ini.
Video: YouTube Discover Ireland
#Ireland #JJ Abrams #Star Wars: The Force Awakens
;