Insiden 'cow mati' antara memori lucu ahli keluarga bersama Henry Golding di Betong

Assim Hassan
Disember 4, 2021 11:22 MYT
Frederick Bruin (kanan) berkata, walaupun mempunyai nama besar ketika ini, Henry disifatkan masih seperti dahulu ketika pulang ke Sarawak terutama ke rumah panjang mereka. - Ihsan Frederick
BETONG: Kegemilangan pelakon kelahiran Betong, Sarawak, Henry Golding memberi inspirasi kepada masyarakat Iban di Bumi Kenyalang.
Kejayaan pelakon Crazy Rich Asian itu ke pentas antarabangsa disifatkan mengharumkan nama Sarawak dan masyarakat Iban serta ahli keluarga di Rumah Panjang Skuyat Lama, Betong.
Kesempatan berkunjung ke Rumah Panjang Skuyat Lama, Betong memberi peluang Astro AWANI bertemu dengan ahli keluarga serta meninjau rumah milik Henry Golding.
Menurut sepupunya, Frederick Bruin walaupun mempunyai nama besar ketika ini, Henry disifatkan masih seperti dahulu ketika pulang ke Sarawak terutama ke rumah panjang mereka.
"Dia masih macam dahulu, tidak sombong walaupun sudah menjadi pelakon terkenal. Banyak habiskan masa di rumah main permainan video atau pergi ke hutan memburu.
"Penghuni rumah panjang kami akan gembira bila dia balik. Dia cukup menghiburkan dan suka membuat lawak," katanya yang memberi Henry Golding juga suka makan durian ketika pulang ke kampung.
Menceritakan mengenai kenangan sewaktu kecil pelakon The Gentlemen itu, Frederick memberitahu, memori 'cow mati' antara momen lucu bersama Henry.
"Pernah apabila dia bersama dua abang dan kakaknya pulang ke kampung, mereka suka bermain di hutan dan sungai. Ada satu ketika Henry memberitahu kakaknya bahawa ada 'cow mati' sebelum memaklumkan kepada bapa saya.
"Apai tuai... apai tuai 'cow mati', bapa saya terkejut cakap siapa mati? Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Henry adalah lembu mati. Dia menemukan lembu mati di dalam hutan... kami semua tergelak," katanya yang turut mengajar Henry bahasa Iban.
AWANI Pagi: Berita tumpuan & kemas kini COVID-19 [04 Disember 2021]
Ditanya aktiviti yang sering dilakukan Henry ketika pulang ke kampung, Frederick memberitahu dia dan pelakon Last Christmas itu suka pergi ke hutan mengutip sayur hutan selain memburu tupai.
"Dia juga pernah membawa isterinya tinggal di rumah panjang ini. Saya merasakan mereka cukup seronok," katanya.
#PRN Sarawak #Rumah Panjang Skuyat Lama #Henry Golding #Betong Sarawak
;