Ini tujuh tip untuk tampil lebih menarik!
Nursyazwani Saiful Sham
April 13, 2018 06:42 MYT
April 13, 2018 06:42 MYT
PASTI setiap individu ingin sentiasa kelihatan menarik sama ada untuk kepuasan diri, mahu pun untuk menarik perhatian pasangan.
Terdapat pelbagai cara untuk memastikan diri anda sentiasa kelihatan menarik, antaranya dengan lenggok badan yang betul dan cara pemakaian.
Ini tujuh tip untuk tampil lebih menarik yang dibuktikan oleh pengkaji:
1. Jadi lebih ‘altruistik’
‘Altruistik’ adalah sifat yang lebih mengutamakan kebahagiaan dan kebajikan orang lain berbanding diri sendiri.
Menurut kajian Evolutionary Psychology, lelaki yang berpendapatan rendah kelihatan lebih menarik di mata wanita apabila dia mendermakan kepada yang memerlukan.
Jadi, untuk tampil lebih menarik, anda disarankan untuk menunjukkan sifat baik dengan mengutamakan kebajikan orang lain.
2. Guna pujian bermetafora
Menurut pengkaji dari China seperti yang dilaporkan portal The Independent, wanita lebih gemar apabila dipuji menggunakan kata-kata metafora.
Pujian menggunakan kata-kata metafora dianggap lebih romantis berbanding pujian biasa-biasa.
Gunakan pujian seperti, ‘matamu bersinar bak pelangi indah’ untuk kelihatan lebih romantis pada mata pasangan anda.
3. Pandang tepat pada matanya dan senyum
Ia bukan satu rahsia apabila menggunakan isyarat mata sebagai teknik untuk menggoda seseorang.
Menurut kajian saintifik, ia sebenarnya terbukti berkesan untuk kelihatan lebih menarik juga. Jadi, untuk kelihatan tampan dan menggoda, tatap tepat pada matanya dan berikan senyuman.
4. Pakai pakaian merah
Pakaian merah dikatakan dapat menarik perhatian jantina berlainan menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Personality dan Social Psychology dan jurnal Experimental Psychology.
Menurut kajian tersebut, lelaki yang memakai pakaian merah dapat menunjukkan beliau sebagai seorang yang berjaya dan berdedikasi. Bagi wanita pula, merah melambangkan seksi buat si pemakai.
Mungkin pakaian merah dapat membantu anda untuk nampak yakin dengan penampilan anda.
5. Perbaiki cara jalan
Cara berjalan yang betul seperti lenggok badan dapat membantu anda untuk kelihatan lebih menarik.
Ini juga dibuktikan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Science yang menyatakan lenggok berjalan bagi wanita adalah dengan gemalai. Bagi lelaki pula, jalan dengan mendada dapat memastikan diri anda nampak lebih menarik.
Mungkin ini masanya untuk memperbaiki cara anda berjalan agar nampak lebih menarik bukan?
6. Anggukkan kepala
Manusia dikatakan dilihat lebih menarik pada kadar 40 peratus apabila menganggukkan kepala.
Ini kerana, dengan pergerakan ini anda akan kelihatan seakan-akan memahami dan mudah didekati untuk bercerita.
Jika anda sebelum ini sukar untuk mengekalkan hubungan, mungkin pergerakan sebegini dapat membaiki hubungan anda.
7. Nampak mewah
Mewah bukan bererti mempunyai wang yang banyak tetapi posisi badan anda juga dapat menunjukkan kemewahan diri.
Ini sekali gus dapat membantu memastikan anda tampil lebih menarik.
Contohnya, dengan memastikan kaki dan tangan anda dilepaskan dan bukan berpeluk tubuh. Posisi badan sebegini dapat membantu anda untuk kelihatan lebih yakin.
Justeru, bagi anda yang mahu kelihatan lebih menarik, tujuh tip ini mungkin anda boleh gunakan bagi menarik perhatian pasangan atau orang di sekeliling anda.