Ini trend pelancongan dunia 2018, termasuk khabar lain yang kurang baik
Agensi
Mac 11, 2018 12:59 MYT
Mac 11, 2018 12:59 MYT
Industri pelancongan semakin melonjak ketika ini kerana pelancong sudah bijak mencari pelbagai kaedah untuk mengembara ke seluruh dunia, selain tidak lagi berasa bimbang tentang aspek ancaman keselamatan.
Ketika ekspo pelancongan terbesar dunia kini berlangsung di Berlin (ITB), pakar industri menghimpunkan beberapa khabar yang tidak semuanya baik.
Beberapa destinasi paling popular kini menjadi mangsa kepada kejayaan mereka sendiri, sekali gus menjadikan sektor itu terpaksa menjawab tentang kebimbangan menenai masalah kesesakan dan kemusnahan persekitaran.
Kebangkitan Asia Barat
Mesir, Tunisia and Turki sebelum ini ‘menderita’ akibat kejatuhan mendadak kedatangan pelancong berikutan siri serangan pengganas dan ketidakstabilan politik. Begitupun, tempoh keamanan yang sekarang ini cuba dijaga membuatkan para pelancong kembali memikirkan untuk mengunjungi destinasi klasik itu, demi tarikan kehangatan matahari, laut dan juga harga yang rendah.
Pertubuhan Pelancong Dunia (WTO) menyatakan bahawa di Mesir sahaja, kedatangan sudah berganda pada tahun 2017.
Tunisia, yang teruk dihantui insiden serangan di muzium dan tembakan rambang di pantai pada 2015 hingga mengorbankan 60 orang, menyaksikan lonjakan kedatangan pelancong tahun lalu.
Wilayah Palestin juga dikhabarkan bakal menjadi destinasi pilihan, walaupun mempunyai sentimen ketegangan dengan pentadbiran Israel.
Bermain salji
Beberapa destinasi paling ‘panas’ juga adalah destinasi paling sejuk. Ribuan pengembara tegar kini bersedia untuk menggigil dalam kedinginan di lokasi-lokasi seperti Lapland, Greenland atau Antartika, atau mencari pertunjukan warna aurora borealis di langit Utara.
Iceland pula perlu ‘terhutang budi’ dengan populariti siri drama Game of Thrones yang telah meningkatkan rasa ingin tahu dalam kalangan penonton dunia tentang keindahan lokasi penggambarannya. Pada 2017, negara yang mempunyai populasi penduduk kurang daripada 340,000 orang itu telah menyambut kehadiran sejumlah 2.5 juta pelancong.
Pelancongan melampau
Sementara aspek kemakmuran dan wang sangat ‘dialu-alukan’, satu perkara lain pula terjadi. Kebanjiran pelancong di beberapa lokasi di Iceland telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan, yang mengadu bahawa lokasi ‘dara’ yang menjadi kesayangan mereka sudah semakin terjejas dan sesak.
Kemarahan itu semakin ketara di destinasi popular lain seperti Barcelona, Amsterdam dan Venice, apabila penduduk tempatan semakin ‘menyampah’ dengan pengunjung luar yang memenuhkan infrastruktur awam. Itu juga telah menaikkan kadar sewaan premis tempatan kepada nilai yang sangat tidak mampu bagi orang tempatan, khususnya apabila perkhidmatan AirBnB berleluasa.
Pihak berkuasa juga terpaksa memikirkan tentang langkah yang perlu diambil untuk berdepan cabaran baharu industri pelancongan.
“Pelancongan melampau kini menjadi masalah besar. Industri ini perlu mencari jawapan,” kata sebuah firma rundingan pelancongan antarabangsa, IPK.
Bisnes dan santai
Keanjalan waktu bekerja dan tugas yang boleh di mana-mana sahaja dengan akses WiFi telah menambahkan peluang untuk mencampurkan urusan bisnes dan santai.
Pengembara sebegitu, yang lazimnya berusia antara 18 hingga 34 tahun, bebas untuk merancang percutian pantai dengan saki-baki hari tambahan di sesebuah destinasi selepas selesai urusan perniagaan atau korporat. Semua itu diiringi peralatan teknologi tinggi yang mereka bawa.
Thailand juga bersungguh-sungguh mahu mendapatkan para ‘nomad digital’ ini memasuki negara itu. Sebab itulah Thailand melancarkan usaha besar-besaran untuk menyediakan infrastruktur berkelajuan tinggi, termasuklah kawasan pedalaman yang menawarkan lokasi menarik alam semula jadi.
Setiap titis bermakna
Tetamu hotel sudah lama terbiasa dengan peringatan di kamar mandi yang mengesyorkan mereka agar menggunakan semula tuala lebih daripada sekali. Namun, seiring tekanan alam sekitar yang meningkat, rangkaian hotel dan pengendali rombongan kini melakukan lebih daripada itu, dengan memperkenalkan konsep eko-pelancongan dalam arus perdana.
Bagi menggalakkan penggunaan air yang bertanggungjawab, kini agak sukar untuk menemui tab mandi besar dalam bilik hotel, malah di hotel mewah, lapor majalah Travel Weekly.
Di Afrika Selatan yang sering berdepan kemarau, pihak hotel telah mengambil langkah mengurangkan kerja-kerja pencucian dengan menggantikan kain alas dengan yang berasaskan kertas, selain membasuh linen tidak sekerap dahulu.
Di Norway, kerajaannya sedang merancang undang-undang baharu yang lebih ketat terhadap kapal-kapal pesiaran yang mahu berlabuh di perairannya. Ini bagi mengurangkan kesan pengeluaran karbon, bahan api dan pencemaran lain.