Ini penghargaan warga kerja Astro AWANI sempena Hari Guru
Astro Awani
Mei 15, 2016 07:57 MYT
Mei 15, 2016 07:57 MYT
KERJAYA sebagai pendidik atau guru sesungguhnya tidak boleh diibaratkan 'lilin yang membakar diri' demi menerangi orang lain.
Cahaya pendidikan yang dilimpahkan kepada anak murid keseluruhannya saban tahun tidak akan sekali-kali memadamkan kewujudan dan peranan seseorang guru, kerana kebaikannya terus hidup subur dari generasi ke generasi, dan merentasi zaman.
Jasa dan bakti itu juga dikenang-kenang selalu kerana pendidikan yang diterima daripada gurulah yang membentuk asas kehidupan seseorang insan, jauh lebih awal sebelum seseorang itu melangkah ke universiti seterusnya mengenali alam kerjaya.
Sempena tarikh istimewa 16 Mei hari ini, warga kerja Astro AWANI turut tidak mahu ketinggalan memberikan penghormatan kepada individu-individu yang tidak jemu mencurahkan ilmu dalam profesion perguruan.
Selamat Hari Guru!
"Sempena Hari Guru tahun ini, saya ingin mendedikasikan ucapan ini khas kepada 'Sir' Tunku Adaham Tunku Zainol Rashid. Sebagai seorang 'proud Michaelian', sukar untuk saya membalas jasa Tunku Adaham yang bukan sahaja mengajar macam mana nak lulus peperiksaan, tetapi melengkapkan diri seorang murid untuk mengharungi kehidupan selepas sekolah. Sir, everything you said to me is true. Terima kasih, Sir. " - ASHWAD ISMAIL, Penyampai Berita/Pengarang
"Antara yang saya pelajari di sekolah adalah guru-guru mengajar saya tentang erti kehidupan, lebih daripada subjek yang diajarkan. Mereka mengingatkan saya bahawa dalam hidup, kita perlu belajar membahagiakan dan memudahkan kerja orang lain." - HILAL AZMI, Wartawan Penyiaran
"Hari Guru memberikan makna besar dalam hidup ini apabila jasa yang dicurahkan oleh guru-guru bagi membimbing dan mendidik saya sehingga menjadi seorang insan yang berguna tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayat.
"Antara yang paling saya ingati adalah doa seorang guru ketika di menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) untuk melihat saya mencatatkan keputusan terbaik dalam kertas Bahasa Melayu SPM 1996 dimakbulkan. Terima Kasih Cikgu atas doamu.
"Kepada guru-guru lain di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Kulim; Sekolah Kebangsaan Tengkera 2,Melaka; Sekolah Menengah Sultan Badlishah, Kulim dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak yang pernah menabur bakti kepada ku....Jasamu dikenang dan semoga diberkati Allah SWT." - ZEF OTHMAN, Pengarang
"Saya ingin mengucapkan Selamat hari Guru kepada Puan Azimah Isa di Sekolah Taman Tasik Ampang. Segala kegigihanmu dalam mendidik tidak akan saya lupakan. Terima kasih, cikgu." - BAHARIN ALI, Penyunting Visual
"Saya tidak lupa pada semua tenaga pengajar di SMK Cheras, terutamanya tunjuk ajar Cikgu Jamil Jamaluddin yang banyak membantu saya dalam pelajaran dan perkembangan bakat." - NISA KASNOON, Penyampai Berita/Wartawan Penyiaran
"Jika bercakap tentang kenangan bersama guru di sekolah, tentu sekali saya akan mengingati tenaga pengajar di Sekolah Menengah Haji Mohd Yatim, Negeri Sembilan, sekitar tahun 2000 sehinga 2002. Mereka mencipta sejarah tersendiri dalam bidang sukan kerana berjaya mencetuskan motivasi kepada para pelajar untuk cemerlang dalam sukan bola sepak. Kami juga diberikan peluang bekerjasama dngan jurulatih luar yang berpengalaman. Daripada menjadi sebuah sekolah yang tidak dikenali dalam pencapaian sukan, hinggalah akhirnya kami muncul sebagai pasukan yang membawa pulang kemenangan, malah hingga mewakili negeri! - ADZHAR ROKMAN, Pembantu Penerbitan
"Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada ustaz saya, Ustaz Rohan. Beliau bukan sahaja mendidik dengan ilmu sebagai seorang ustaz malah berperanan sebagai jurulatih bola sepak saya. Terima kasih atas segala tunjuk ajar ustaz kepada saya. Walaupun lama tak bersua muka, tetapi kata-kata dan pesanan ustaz akan saya ingat sampai bila-bila insya-Allah." - MUHAMMAD FAIZ JOHARI, Pembantu Penerbitan
"Saya terkenang kes buku latihan Matematik dicampak dari tingkat 3 Sekolah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh oleh seorang guru. Begitupun, insiden berkenaan telah menjadikan saya lebih tekun dalam pelajaran dan berjaya meraih keputusan cemerlang dalam subjek tersebut. Untuk Cikgu Megat Mohd. Kasim Megat Arifin, saya sentiasa akan kenang jasa cikgu sepanjang hayat. Terima kasih!" - HARITS ASYRAF HASNAN, Wartawan Penyiaran
"Saya tidak akan lupa segala jasa yang telah dicurahkan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsaan Gurun (P), Kedah sepanjang saya menjadi pelajar di situ pada tahun 1994 sehingga 1999. Antara yang paling saya ingati ketika belajar di sekolah itu adalah kenangan bersama guru subjek Matematik yang garang iaitu Cikgu Ramli. Walaupun ditakuti ramai, namun cara pengajarannya begitu berkesan kepada anak muridnya. Saya boleh katakan bahawa saya ini antara yang pintar dalam subjek itu!" - NASRUL SHAZLI SAMIL, Pereka Grafik
"Saya mahu mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan Raub, Sejkolah Agama Al-Ulum Ad-Diniah Dong Raub, Pahang. Semoga guru-guru yang pernah atau masih mencurahkan bakti ini diberi kesihatan yang baik dan sentiasa menjadi guru yang cemerlang. Terima kasih, cikgu!" - SHARIFAH SABTARIAH SYED AHMAD, Pegawai Pemasaran
"Tidak ada guru kegemaran. Saya ulangi. Tidak ada. Saya tidak akan sebut nama guru secara individu, kerana bagi saya setiap seorang guru yang saya kenali ialah wira-wira yang perlu disanjung. Mereka memilih kerjaya itu atas sebab minat dan pengorbanan untuk mendidik anak bangsa (semoga angkatan guru sekarang ini masih kekal niatnya begitu). Ayah saya sendiri seorang guru pencen, dan habis separuh hayatnya ditujukan untuk anak-anak muridnya. Maka saya tahu betapa besar jasa dan jerih-payah insan yang menceburkan diri dalam profesion tersebut.
"Sempena Hari Guru ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga untuk guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu kepada saya di Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau (SKST) Johor Bahru, Sekolah Agama Taman Sri Tebrau, Johor Bahru, dan Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru, sejak tahun 1985 hingga 1995.
"Tidak ketinggalan kepada semua guru yang bertungkus-lumus memikul tanggungjawab sebagai pendidik di seluruh negara! Syabas! Saya tahu ia bukan kerjaya yang mudah... Semoga terus tabah, kuat, sabar dan ikhlas..." - HAMZAH HAMID, Pengarang Digital