Ini mungkin cara anda melihat anak gelandangan dan anak orang kaya

Kohilah Sekaran
Jun 29, 2016 20:20 MYT
Berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia masih berkurang nasib baik - terancam dan tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan.
Apa yang akan anda lakukan jika terlihat seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditinggalkan bersendirian di bandar ataupun di restoran?
UNICEF baru-baru ini menjalankan satu kajian sosial, dengan menampilkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun bersendirian di kaki lima di Tbilisi, Georgia.
Video kajian itu menunjukkan realiti bagaimana seorang kanak-kanak gelandangan dilayan, berbanding kanak-kanak yang lain.
Kajian sosial turut itu membuktikan penerimaan orang ramai bergantung kepada penampilan seorang kanak-kanak.
Apabila Anano, pelakon kanak-kanak berusia enam tahun itu, berpakaian cantik dengan gaya rambut kemas, dia disambut mesra oleh orang awam.
Mereka mendekati Anano, mereka bersalam serta bertanya jika dia telah hilang ataupun sesat.
Ramai yang berhenti dan cuba memberi bantuan kepada kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, Anano menerima reaksi yang lain apabila dia berpakaian seperti seorang gelandangan.
Orang ramai berjalan lalu tanpa menghiraukan kehadirannya. Tiada siapa yang berhenti untuk bertanya sebarangan.
Kajian sosial yang sama turut dijalankan di sebuah restoran makanan.
Seperti yang dijangka, pelanggan yang ada hanya menghormati kanak-kanak itu apabila dia tampil seperti seorang anak kaya, dan bertindak sebaliknya apabila dia menyamar sebagai seorang gelandangan.
Lebih menyedihkan, Anano turut ditegur, ditolak serta dihina.
Anano kemudian berlari keluar sambil menangis kerana sedih dengan tindakan itu.
Difahamkan, kajian itu terpaksa dihentikan kerana Anano begitu kecewa dengan cara orang ramai melayan dia.
Kajian sosial itu merupakan sebahagian daripada kempen #FightUnfair UNICEF yang dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai stigma terhadap kanak-kanak yang tinggal dan bekerja di kaki lima.
Pengeluar video itu percaya slogan video yang berbunyi, 'perubahan bermula apabila anda memilih untuk menjaga', akan menukar perspektif serta sikap orang ramai terhadap kanak-kanak gelandangan yang mereka lihat setiap hari.
UNICEF berkata, “pelaburan dalam anak-anak miskin bukan sahaja meningkatkan kehidupan mereka, tetapi juga kehidupan anak-anak mereka - menghapuskan kitaran kemiskinan."
Tambah UNICEF, berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia masih berkurang nasib baik - terancam dan tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan.
#Kajian #Kanak-kanak #Kini Trending #sosial #UNICEF
;