Ini iklan raya paling mencuri perhatian tahun ini

Madiha Abdullah
Jun 15, 2018 12:37 MYT
Kemeriahan hari raya apabila anggota keluarga berkumpul menjadi tema iklan Rumah Epik Fantastik oleh TNB. - YouTube
SETIAP kali tiba musim perayaan, syarikat-syarikat besar terutamanya akan berlumba-lumba menghasilkan iklan bukan sahaja untuk mempromosikan jenama mereka, tetapi juga untuk turut bersama-sama memeriahkan sambutan.
Seperti tahun-tahun lalu, antara iklan yang mendapat perhatian untuk Aidilfitri tahun ini ialah daripada Astro, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas dan Samsung.
Di bawah ini disenaraikan enam iklan paling mendapat perhatian musim Aidilfitri 2018 ini.
Astro - Gaya Raya Paling Ori
Astro memilih tema hipster, yang tentunya sangat dekat dengan anak-anak muda, terutamanya pengguna laman sosial. Mengisahkan Wak Nik yang mahu memastikan dia mempunyai gaya paling asli pada hari raya.
Dua minggu dilancarkan, iklan ini telah mendapat lebih 800,000 tontonan.
TNB - Rumah Epik Fantastik
Mengulangi kejayaan iklan Dugaan Raya Aida tahun lalu, iklan tahun ini tidak kurang hebatnya. Rumah Epik Fantastik mengisahkan bagaimana kemeriahan Aidilfitri apabila rumah yang selalunya sepi, dipenuhi kaum keluarga yang pulang berhari raya. Memang kecoh jadinya, tetapi itulah yang membuatkan Aidilfitri lebih menyeronokkan.
Di YouTube, iklan ini pernah beberapa kali berada dalam senarai trending dan telah mencatat tontonan lebih 2.4 juta.
Malaysia Airlines - Ops Lip Lap Raya
Iklan MAS tahun ini berkisahkan tentang seorang adik yang mahu memastikan kakak iparnya yang berbangsa asing, menerima sambutan paling meriah apabila tiba di kampung, apatah lagi ia merupakan kali pertama kakak iparnya pulang beraya.
Baru dilancarkan 4 Jun lalu, iklan ini sudah menerima 2.6 tontonan.
Lazada - Buah Hati Raya
Boleh juga diiktiraf sebagai iklan paling sweet tahun ini. Ia mengisahkan tentang si suami yang mahu membelikan hadiah untuk isteri tersayang yang penat menyiapkan tempahan baju raya. Namun tanpa disangka, si isteri juga telah menyediakan hadiah untuk suaminya.
Ketika berita ditulis, iklan ini mencatat tontonan tertinggi dalam kalangan iklan hari raya tahun ini, dengan lebih 3.3 juta tontonan.
Samsung - Raya Last Minit
Iklan ini ringkas sahaja, namun mesejnya disampaikan dengan jelas menerusi gaya santai dan humor. Raya Last Minit memperlihatkan bagaimana sepasang suami isteri muda cuba menyediakan rumah mereka untuk menerima kehadiran ibu saudara yang cerewet.
Raya Last Minit sudah mencatat lebih 900,000 tontonan setakat ini.
Petronas - Misi Riuh Raya
Disampaikan dalam cara santai, Misi Riuh Raya membawa mesej kekeluargaan yang kuat, dengan memaparkan kisah sebuah keluarga yang bekerjasama untuk memberi kejutan kepada ibu bapa mereka sempena hari raya.
Antara iklan hari raya paling dinanti setiap tahun, tidak hairanlah ia sudah menerima lebih 700,000 tontonan walaupun baru lima hari dilancarkan.
#Astro #iklan hari raya #Lazada #Malaysia Airlines #MAS #Petronas #Samsung #Tenaga Nasional Berhad #TNB
;