'Ini bukan tentang mati syahid, tapi isu kecuaian' - Abang Naz

Madiha Abdullah
September 15, 2017 15:11 MYT
Naz berkata, bahasa yang digunakannya ketika membuat teguran terhadap pusat tahfiz itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana ada kepincangan yang lebih besar sedang berlaku. - Gambar Facebook
SEORANG personaliti televisyen terpaksa berdepan kritikan pengguna laman sosial apabila menggunakan perkataan 'bangsat' dalam satu status di Twitter berhubung kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur semalam.
Bagaimanapun, Nazrudin Rahman atau lebih dikenali sebagai Abang Naz, menafikan status itu sekadar mahu mencemuh, sebaliknya ia satu teguran ke atas sistem pengurusan pusat tahfiz tersebut.
Nazrudin dalam beberapa siri tweet menjelaskan, apa yang dimuat naik beliau bukan bertujuan mempertikaikan kesyahidan anak-anak itu, apatah lagi mempersoalkan takdir.
Sebaliknya, dia kesal apabila orang ramai dengan sewenang-wenangnya merasionalkan insiden itu dengan kenyataan-kenyataan seperti mati syahid, sedangkan ada isu lebih besar, iaitu pengabaian aspek keselamatan, yang perlu diperkatakan.
"Ini bukan isu syahid, ini isu kecuaian yang membawa maut.
"Kecuaian tidak boleh diselindung dengan perkataan mati syahid. Kita perlukan jawapan kukuh kerana ini bukan kali pertama hal seperti ini terjadi," tulisnya.
BACA: Kebakaran pusat tahfiz bukan kerana litar pintas - Bomba
BACA: Bangunan sementara atau kekal, piawaian keselamatan perlu dipatuhi - TPM Zahid
Tambah Nazrudin lagi, bahasa yang digunakan ketika membuat teguran terhadap sekolah tahfiz itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana ada kepincangan yang lebih besar sedang berlaku.
"Bahasa kesat yang dipertikaikan? Apa yang terjadi kepada 23 pelajar terbabit kerana tak hiraukan piawaian? Itu lagi kejam," tulisnya.
#kebakaran #keselamatan #maut #Nazrudin Rahman #pelajar #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #Tweet
;