"Ini amanah orang, saya tidak akan langgar amanah itu." - Muhammad Amirullah

Muzaffar Mustapa, Madiha Abdullah
Februari 9, 2017 20:56 MYT
Tangkapan skrin yang memaparkan tweet berkenaan sumbangan yang diterimanya sudah mencukupi. - Twitter @TheUsopIbrahim
SELEPAS kisahnya membantu seorang lelaki yang hilang pekerjaan menjadi viral, masalah lain pula dialami pemilik akaun Twitter, @TheUsopIbrahim.
Lelaki yang menggunakan nama Usop itu kini pening kepala untuk menguruskan sejumlah wang yang telah disumbangkan kerana jumlahnya terlalu besar.
Astro AWANI berjaya menghubungi pemilik akaun tersebut yang nama sebenarnya ialah Muhammad Amirullah Zulkapli Daud, berasal dari Pahang dan baru berusia 22 tahun.
Mengakui kesahihan deretan tweet yang dimuat naik di akaunnya itu, cerita lelaki tersebut menurutnya amat menyentuh hatinya dan menarik untuk dikongsikannya di media sosial.
“Benar. Segala apa yang diceritakan di akaun Twitter itu sebenar-benarnya adalah cerita yang disampaikan oleh lelaki tersebut yang sebelum ini tidak saya kenali. Seperti kebiasaan, saya tidak akan layan cerita-cerita sedih yang disampaikan oleh individu yang tidak saya kenali, namun cerita lelaki ini amat berbeza.
“Kisah kesukaran hidup lelaki tersebut menyentuh perasaan saya. Bagaimana tentang anaknya yang masih kecil kelaparan. Ditambah dengan dugaan hebat daripada isterinya yang cukup tertekan dengan kesukaran hidup tersebut dan berhasrat memohon cerai.
“Tidak terhenti di situ, dugaannya berdepan dengan keluarga mertua cukup menambahkan beban hidupnya.
“Dari situ, saya bertekad mahu menolongnya namun tekad saya itu perlukan sokongan daripada golongan netizen. Setelah meyakinkan kesan dan akibat daripada pendedahan tersebut, individu tersebut bersetuju." jelas Muhammad Amirullah yang dihubungi menerusi telefon.
Setelah mendapatkan butiran lanjut daripada lelaki berkenaan, Muhammad Amirullah bersama salah seorang sahabatnya, Shaiful (Apeng) mula mengumpulkan sumbangan yang diterimanya menerusi akaun bank miliknya sendiri.
Namun yang lebih mengejutkan adalah jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan setakat ini telah mencecah nilai RM20,000.
Memegang amanah yang telah diberikan oleh netizen, Muhammad Amirullah nyata terkejut dengan sokongan daripada netizen di media sosial.
“Memang cukup banyak. Lebih RM20,000 dalam beberapa hari sahaja. Walaupun telah diserahkan sebahagian daripada derma tersebut kepada lelaki tersebut, jumlahnya semakin bertambah apabila netizen terus menghulurkan derma ke dalam akaun saya.
“Saya dan sahabat saya telah pun membelikan segala keperluan untuk keluarga lelaki tersebut ini termasuk barang dapur, periuk nasi, pakaian kanak-kanak dan lain-lain keperluan, namun masih ada baki lagi. Saya pun dah pening kepala tidak tahu bagaimana mahu menguruskan wang tersebut.
"Saya mahu menyerahkan kesemuanya kepada lelaki tersebut, namun dia menolak dengan alasan jumlah bantuan yang diterimanya sudah terlalu besar. Dia mahu kami sumbangkan kepada orang lain yang lebih memerlukannya."
“Saya akan cuba lagi untuk mendesak lelaki tersebut menerimanya tidak kira dalam apa sahaja bentuk termasuk membukakan akaun bank untuk anaknya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Ini amanah orang. Saya tidak akan sesekali melanggar amanah yang telah diberikan. Saya dan Apeng akan berbincang lagi malam ini berkenaan cara untuk bagaimana menguruskan wang tersebut.”
BACA: Hilang kerja, isteri pula minta cerai; kempen di Twitter berjaya kumpul RM 2,000
Dalam netizen meraikan sifat pemurah netizen, ada suara-suara nakal yang cuba merosakkan keyakinan netizen lain. Dalam beberapa siri tweet terbaharu, Muhammad Amirullah nyata kesal apabila ada yang menuduhnya mengada-adakan cerita dan 'makan duit orang ramai'.
Ada dalam kalangan netizen yang dilihat ragu-ragu dengan kebenaran kisah yang diceritakan Muhammad Amirullah, atas alasan tiada bukti kukuh perbualan itu terjadi.
Mereka juga menjadikan fakta yang identiti lelaki itu dirahsiakan dan gambarnya tidak didedahkan, sebagai alasan utama untuk meragui ceritanya.
“Dalam dunia media sosial sememangnya saya tidak mendedahkan diri saya sendiri. Namun demikian itu tidak bermakna saya seorang yang menggunakan fake account untuk tujuan jahat. Ada ramai sahabat yang rapat mengenali saya secara realiti dan persahabatan itu kekal hingga kini.
“Jika mereka tidak percaya dengan cerita saya, terpulang. Tidak perlulah menyebarkan cerita yang bukan-bukan mengenai saya. Kalau tidak mahu menolong, lebih baik diam. Mereka boleh bertanyakan terus kepada saya akan kesahihannya.
“Saya tidak takut langsung. Saya cool dan tidak buat salah. Jika ada bukti yang cukup berlakunya kecurangan dalam cerita ini, silakanlah buat laporan.”
“Nasihat saya cuma satu iaitu hentikanlah menyebarkan cerita-cerita dan andaian-andaian yang tidak benar mengenai saya. Ada di antara mereka sekadar memberikan maklumat hanya untuk mendapatkan perhatian. Kesan buruknya sangat besar.
“Kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada. Namun tidak semua individu lain di dunia ini yang senasib dengan kita. Sentiasalah sedia membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Usaha murni yang telah dilakukan oleh Muhammad Amirullah telah menjadi perhatian netizen sekaligus pengguna media sosial yang nakal akan cuba untuk menggunakan ‘modus operandi’ yang sama untuk berbuat kejahatan.
“Jika di masa akan datang ada individu yang mahu memanipulasi situasi yang sama untuk kepentingan diri sendiri, saya nasihatkan agar tidak melakukan perkara terkutuk itu.
“Pengguna media sosial harus berhati-hati dan berusaha mendapatkan kesahihan cerita tersebut.
“Bagi saya media sosial ini bukan sekadar platform yang bersifat ‘nakal’ semata-mata." katanya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Muhammad Amirullah turut menunjukkan dua keping foto dan satu video pertemuannya dengan keluarga lelaki tersebut.
Atas permintaan Muhammad Amirullah, Astro AWANI tidak akan menyiarkan foto dan video tersebut atas sebab-sebab peribadi.
Setelah cerita ini tersebar di media sosial, menariknya netizen seluruh Malaysia mula mendedahkan beberapa program kebajikan yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi di seluruh negara.
Berdasarkan pemerhatian di laman sosial mendapati, apa yang dilakukan Muhammad Amirullah itu membawa kepada pendedahan kepada beberapa program kebajikan yang diadakan oleh organisasi-organisasi kebajikan.
Antaranya Projek Gerobok, yang diasaskan Preloved Charity, dengan kerjasama lebih 15 buah masjid di seluruh negara.
Melalui Projek Gerobok, orang ramai yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan barang keperluan asas seperti beras, telur dan tepung, yang disumbangkan kariah masjid.
Barang-barang itu boleh didapati di dalam gerobok (almari) yang diletakkan di luar masjid.
Antara masjid terbabit adalah Surau Hj Ismail Fasa 3 Puncak Alam, Selangor, Masjid Jamiul Ehsan Kg Kubu Gajah Sg Buloh, Selangor dan Masjid Daerah Pokok Sena, Kedah.
Ini sekaligus memberi bayangan bahawa adanya usaha daripada pihak masjid dan institusi agama untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.
#Kini Trending #Muhammad Amirullah Zulkapli Daud #viral
;