Inginkan roti jala yang cantik? Ini tip untuk pastikan bancuhan likat
Vanilla Kismis
September 6, 2021 11:10 MYT
September 6, 2021 11:10 MYT
ROTI jala antara hidangan pagi dan petang kegemaran ramai. Sekarang sudah ada pula roti jala jelita dengan pelbagai warna.
Tapi sebelum membuat yang itu, kena tahu asas membuat roti jala yang cantik iaitu cara bancuhan atau adunan tepungnya.
Bagi yang dah biasa buat, mungkin sudah tahu sukatan atau bancuhan tepung yang sesuai, tetapi buat yang baru mencuba atau amatur, boleh ikut tip mudah yang dikongsi oleh Huda Ayob ini.
Katanya untuk pastikan adunan roti jala cukup likat untuk ‘dijalakan’ dan hasilnya menjadi, boleh lihat lubang lusaran waktu kisar bancuhan.
Tip pastikan bancuhan roti cukup likat, tengok lubang pusaran.
Saya cuba kongsi ilmu mudah bagi menbuat roti jala. Bagi pembuat roti jala amatur seperti saya, setiap kali nak tahu adunan tepung sudah cukup likat untuk dijalakan, cuma tengok “lubang pusaran”.
Pastikan lubang pusaran sebesar jari kelingking
Kalau besar lubang pusaran, tambah tepung sedikit sampai lubang sebesar “jari kelingking”.
Lubang pusaran sebesar jari kelingking ini tanda bancuhan dah sempurna dan likat untuk dijalakan.
Jika lubang pusaran kecil daripada jari kelingking, tambah air sikit. InsyaAllah hasil menjala elok menjadi.
Cara membuat roti jala
Disertakan juga resipi yang digunakan untuk 25 biji roti jala
Bahan-bahan
1 biji telur
2-3 sudu besar santan/susu segar
2 cawan tepung gandum
1 cubit pewarna kuning/kunyit
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Air secukupnya
Cara membuat
1. Masukkan semua bahan dalam blender.
2. Kemudian masukkan air sampai tenggelam tepung (dalam 2 cawan air/ikut cawan sukatan tepung)
3. Kacau untuk sebatikan guna sudip panjang.
4. Kemudian boleh kisar. Waktu inilah kena perhatikan lubang pusaran.
5. Dah dapat bancuhan yang sesuai masukkan dalam botol 5 corong untuk dapatkan hasil jala yang halus.
Tip ini juga boleh digunakan sewaktu membuat bancuhan kuih ketayap. Cuma lubang pusaran perlu besar (tambah air) supaya senang untuk ratakan dalam pan.
Selamat mencuba.
Sumber: Huda Ayob
Artikel asal disiarkan di Vanilla Kismis.