Ingat mengandung, rupanya kanser...

Sinar Harian
September 16, 2018 13:43 MYT
Samiah (kiri) bersama rakan-rakan yang datang ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban bagi memberikan sokongan. -Sinar Harian
Sangkaannya mengandung anak keempat, rupa-rupanya doktor mengesahkan kandungannya itu kanser servik tahap satu.
Walaupun sudah lebih 12 tahun berlalu, pengalaman menanggung sakit itu tidak pernah dilupakan oleh Samiah Omar, 45, lebih-lebih lagi dia harus menjalani sebanyak 24 kali rawatan kemoterapi dalam tiga pusingan.
Bagaimanapun, katanya, dia amat bersyukur apabila sakit itu berjaya dikesan lebih awal untuk menjalani rawatan segera.
"Memang tak rasa sakit apa pun masa awal-awal tu, cuma ingat mengandung sahaja. Tapi tiba-tiba keluar darah. Saya ingat tanda-tanda gugur dan segera pergi mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu pada 2006.
"Mula-mula hospital menyatakan kemungkinan ia fibroid, namun setelah ujian darah keluar, saya disahkan menghidap sakit kanser servik tahap 1," katanya.
Menurutnya, dia benar-benar mengikut nasihat doktor iaitu menjalani rawatan susulan serta menjaga pemakanan bagi mengelak sel kansernya semakin bertambah.
Samiah yang kini aktif bergiat aktif dalam aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Kebangsaan Chengkau sebagai Naib Yang Dipertua PIBG berkata, dia tidak mengambil sebarang makanan kesihatan tambahan dan meletakkan kepercayaan kepada nasihat doktor selain memohon kesembuhan dengan izin ALLAH SWT.
"Alhamdulilah selepas beberapa ketika menjalani rawatan, doktor mengesahkan kanser saya telah dapat diubati. Namun, doktor menyatakan saya perlu sentiasa memantau keadaan kesihatan diri memandangkan ada kemungkinan kanser boleh kembali menyerang berikutan sudah ada sel kanser dalam tubuh saya.
"Selepas dikesan menghidap sakit berkenaan, suami saya menasihatkan saya untuk berhenti kerja sebagai guru tadika dan berehat di rumah demi kesihatan," katanya.
#kanser #kanser servik #kemoterapi #mengandung #rawatan
;