Ingat lagi gambar ini? Ini kisahnya, diceritakan sendiri jurukamera yang merakamnya

Ridauddin Daud
Oktober 4, 2020 09:00 MYT
Dalam video tersebut, seorang bapa dilihat sedang melindungi anaknya berusia 12 tahun dari ratusan, mungkin ribuan tembakan di Saladin Road, di selatan bandar Gaza. - Gambar twitter
GAMBAR menyayat hati ini pernah menggemparkan dunia suatu masa dahulu.
Tanggal 30 September 2000, jurukamera rakyat Palestin dari Gaza, Talal Abu Rahma merakamkan video meruntun hati itu.
Dalam video tersebut, seorang bapa dilihat sedang melindungi anaknya berusia 12 tahun dari ratusan, mungkin ribuan tembakan di Saladin Road, di selatan bandar Gaza.
Wajah anaknya, Muhammad al-Durrah kelihatan sangat takut, menangis sambil berlindung di belakang badan ayahnya.
Lebih menyedihkan, Muhammad cedera parah dan meninggal dunia selepas insiden itu. Bapanya, Jamal al-Durrah juga maut terkena tembakan tentera Israel.
Walaupun tular di seantero dunia, kerajaan Israel cuba mempertikaikan kesahihan video tersebut dan menafikan tenteranya bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Selepas 20 tahun, Abu Rahma, jurukamera bertanggungjawab merakam detik itu menceritakan semula momen itu kepada sebuah portal berita antarabangsa:
(Berikut adalah kisah dari Abu Rahma sendiri)
Wartawan di Gaza bersiap sedia kerana pada pagi Sabtu, akan ada demonstrasi di kawasan itu. Ketika itu, ada tiga kawasan sensitif di Gaza - satu di Erez, utara bandar Gaza dan ketiga, di tengah-tengah, Saladin Road.
Ramai bertanya kenapa saya pilih Saladin Road, ia kerana kawasan itu berada di tengah-tengah. Kalau sesuatu berlaku di Erez atau lokasi lain, saya boleh bergegas ke kawasan itu.
Saya ke sana seawal jam 7.00 pagi sebab waktu itulah pelajar pergi ke sekolah dan pastinya ramai orang pada waktu itu.
Mereka mula melontar batu, jam ke jam, jumlahnya semakin meningkat.
Saya berhubung dengan rakan setugas di Erez untuk mengetahui apa berlaku di sana.
Saya terus berada di Saladin Road. Pada waktu itu gas pemedih mata, peluru getah, batu dilontar datang bertubi-tubi, itu normal.
Ada ramai orang melontar batu, bukan ratusan tapi ribuan.
Terus saya hubungi pejabat dan beritahu sekurang-kurangnya 40 orang cedera disebabkan peluru getah dan gas pemedih mata.
Ketua arahkan saya: “Baik, cuba temu bual orang dan hantar video itu ke pejabat,” katanya.
Ketika saya sedang menemu bual seorang lagi penduduk tempatan, tembak-menembak bermula.
Saya ambil kamera dan letak ke bahu, bergerak ke kiri dan kanan untuk merakam siapa yang sedang melepaskan tembakan.
Begitupun keadaan pada waktu itu ‘sangat gila’. Siapa menembak, siapa ditembak, mengapa tembakan dilepaskan, saya tidak tahu.
Saya cuba sembunyikan diri kerana peluru bertebaran merata-rata. Ada van di sebelah saya, di situlah saya sembunyikan diri. Kemudian, ada beberapa kanak-kanak sembunyi di situ juga.
Keadaan yang bising itu menyebabkan saya tidak dengar apa yang berlaku di sekeliling. Keadaan semakin teruk. Tembakan bertubi-tubi, ramai cedera, saya sungguh takut pada waktu itu.
Ada banyak darah di tanah, orang bertempiaran lari, ada yang jatuh, mereka tidak tahu dari mana peluru datang. Apa yang mereka fikirkan hanyalah untuk mencari tempat bersembunyi.
Saya keliru, sama ada mahu larikan diri atau terus merakam. Ternyata, saya adalah seorang wartawan yang degil, jadi saya teruskan merakam.
Pada detik itu, saya hanya fikirkan keluarga. Kematian seolah-olah semakin dekat dengan saya. Setiap saat saya periksa badan saya untuk pastikan adakah saya tercedera atau tidak.
Tiba-tiba, seorang kanak-kanak yang menyorok di sebelah saya berkata: “Tentera tembak kepada mereka,” Saya tanya: “Tembak kepada siapa?”.
Ketika itulah saya nampak seorang lelaki dan kanak-kanak lelaki berlindung di sebalik dinding. Mereka sedang bersembunyi dan kelihatan lelaki itu melambaikan tangannya dan mengatakan sesuatu.
Peluru terus menuju ke arah mereka tapi saya tidak tahu dari mana datangnya. Saya terfikir apa saya boleh buat?
Saya tidak boleh melintas jalan kerana ia terlalu besar dan peluru pula berterbangan di segenap pelusuk. Tiada langsung ruang yang bebas dari ‘asakan’ peluru-peluru itu.
Kanak-kanak di sebelah saya menjerit ketakutan dan ketika itu, saya lihat dari kamera, kanak-kanak yang berlindung tadi sudah cedera. Kemudian lelaki itu pula cedera terkena tembakan.
Meskipun cedera, lelaki itu terus melambaikan tangannya, merayu agar tidak menembak mereka.
Sejujurnya, saya sangat takut pada waktu itu tapi saya perlu terus merakam.
Ini karier saya. Ini tugas saya.
Tapi percayalah, saya cuba lindungi diri dan cuba menyelamatkan bapa dan kanak-kanak itu tapi situasi tidak mengizinkan, peluru datang tak henti-henti.
Tak lama kemudian, saya dengar letupan dan asap memenuhi kawasan dua beranak itu bersembunyi. Sebelum letupan, kanak-kanak itu masih hidup namun cedera di kaki.
Selepas asap hilang, saya lihat kanak-kanak itu terbaring di paha bapanya, berdarah di bahagian perut. Tak lama kemudian, sebuah ambulans dilihat mengambil dua beranak itu.
Saya memanggil pemandu ambulans dan bertanya adakah saya boleh ikut mereka, dia kata: “Tidak, tidak, saya ada kes kecemasan yang serius,” katanya.
Selepas tembakan reda, saya kembali semula ke kereta, saya hubungi pejabat dan menceritakan semuanya kepada mereka.
Selepas saya menunjukkan video itu kepada rakan setugas di pejabat, semuanya terdiam, kelu, terkejut dengan video menyayat hati itu.
Sebaik sahaja rakaman itu ke udara, ketua dan saya menerima banyak panggilan baik daripada kerajaan Perancis dan juga Israel malah ada yang mempertikaikan video tersebut.
Kisah itu turut dibawa ke mahkamah dan akhirnya pada 2013, kami memenangi kes tersebut. Tiada langsung wang kami dapat selepas menang kes.
Tapi, kerana kredibiliti dan maruah, kami terus berjuang dalam kes tersebut.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#Israel #Gaza #maut #hilang #sekolah #pelajar #Kanak-kanak #tembakan #lelaki #gas pemedih mata #cedera
;