Ilmu CPR mampu selamatkan nyawa - Aktivis sosial
Bernama
Julai 1, 2018 07:50 MYT
Julai 1, 2018 07:50 MYT
Aktivis sosial Datuk Seri Ang Lai Soon mengulangi gesaannya supaya pengajaran pemulihan pernafasan dan jantung atau dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Beliau berkata institusi pendidikan tersebut boleh memasukkan latihan CPR ke dalam aktiviti ko-kurikulum mereka.
"Saya sentiasa percaya bahawa nyawa tidak seharusnya berakhir begitu sahaja. Ini hanya dapat dielakkan jika ada orang berdekatan yang ada kemahiran asas CPR dengan segera membantu seseorang yang jantungnya terhenti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata pelaksanaan strategi pengajaran pertolongan cemas itu akan menjadi satu perkembangan penting dalam sejarah penjagaan kesihatan.
Ang yang juga ketua pengasas St John Ambulance Sarawak berkata beliau sentiasa menumpukan kepada kepentingan latihan CPR.
"Dengan kerajaan persekutuan yang baharu dipilih, saya berharap kita akan dapat sokongan sepenuhnya daripada kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri untuk cadangan latihan CPR itu dan saya juga berharap ia akan dapat dilaksana dan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara secepat mungkin," katanya.
Ang berkata adalah baik jika setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang tahu bagaimana untuk melakukan CPR kerana banyak kes serangan jantung berlaku di rumah.
"Kita tidak boleh nafikan bahawa dengan melakukan CPR ke atas seseorang yang terkena serangan jantung sebagai pertolongan cemas awal sebelum menghantar mangsa ke hospital akan memberi perbezaan antara hidup dan mati," katanya.
-- BERNAMA
#aktivis
#ang lai soon
#bantuan pernafasan
#cpr
#Institusi Pengajian Tinggi
#IPT
#kokurikulum
#pemulihan jantung
#resusitasi kardiopulmonari
#sekolah