Jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri hari ini membalas teguran terbuka Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung iklan-iklan D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs) miliknya.

Walaupun terkejut, Aliff berkata dia sedia menerima teguran dan tidak ada masalah dengan nasihat yang telah diberikan.

"Saya akui saya memang tidak ada masalah di atas nasihat yang telah diberikan.

"Cuma saya agak terkilan apabila mendapat beberapa respon dan persepsi negatif daripada masyarakat umumnya," katanya dalam satu kapsyen gambar di akaun rasmi Instagramnya pada petang Selasa.


Ahad lalu, Nik Abduh menegur Aliff menerusi satu status Facebook berhubung iklan D'Herbs yang dipaparkan di akhbar tempatan.

Katanya, Aliff merupakan seorang individu yang memang 'terlajak' baik dan mesra.

"Namun, atas tanggungjawab sebagai seorang Muslim sesama saudara Muslimnya, ingin saya menasihati dan menegur Aliff secara terbuka di sini (Facebook) agar menapis iklan-iklan oleh syarikat perniagaan beliau agar lebih mematuhi syariat agama.

"Galakan iklan dalam mendedahkan aurat wanita adalah perilaku jahiliyah dan dilarang agama.

"Allah tidak akan memberkati rezeki itu bahkan mungkin saja melimpahkannya tetapi nantinya berhujung dan putus samada di dunia lagi atau di pintu kubur tanpa sambungan lagi di alam akhirat," katanya.


Dalam pada itu, Aliff di bahagian akhir kapsyen gambarnya berkata, urusan keberkatan rezeki itu milik Allah.

"Dengan rezeki dari D'Herbs, serba sedikit dapat membantu sesama ummah," jelasnya.

Sementara itu, ada dalam kalangan pengguna media sosial berpendapat biarpun pahit, namun teguran itu diperlukan untuk kepentingan agama. Beberapa pengguna yang menyifatkan teguran Nik Mohamad Abduh sebagai satu langkah untuk menjaga kepentingan agama.
Aliff merupakan antara pengasas produk kosmetik paling muda di negara ini.

Sebelum ini, D'Herbs terkenal kerana menaja program realiti nyanyian terbitan Astro, Gempak Superstar, yang memulakan siarannya April lepas.