Ikea Norway beri saranan kepada ibu bapa yang buntu memilih nama bayi
Agensi
Jun 11, 2022 14:01 MYT
Jun 11, 2022 14:01 MYT
COPENHAGEN: Pernah terfikir nama Malm, Kivik atauTrotten?
Syarikat pengeluar perabot dan kelengkapan rumah dari Sweden, Ikea, terkenal dengan penamaan tersendiri bagi setiap produknya.
Kini, cawangannya di Norway mengesyorkan pengalaman penjenamaan itu untuk membantu ibu bapa yang buntu mencari nama sesuai untuk bayi mereka, lapor AP.
Ikea Norway telah menyediakan senarai 'bank nama' dengan lebih daripada 800 cadangan nama di laman webnya. Sejak tahun 1948, nama-nama itu dicipta untuk mengenal pasti jenis perabot dan pelbagai produk lain keluarannya, berbanding penggunaan kod atau nombor.
“Setelah bertahun-tahun, Ikea telah menghasilkan 'katalog' yang cukup banyak untuk membantu anda membuat pilihan," kata Ikea Norway dalam satu kenyataan.
Ikea menamakan produknya berdasarkan nama pekan, tasik dan variasi ciri geografi lain, namun adakalanya memilih nama tradisional yang jarang digunakan.
Cawangan tersebut menambah, sementara pihak peruncit dan pengeluar menyaksikan 'kekurangan bahan mentah dan cabaran masa penghantaran' semasa pandemik COVID-19, namun sekurang-kurangnya tiada 'kekurangan' bayi atau kanak-kanak di Norway.
Negara Scandinavia itu mencatatkan daftar kelahiran sejumlah 56,060 bayi tahun lalu, atau 3,081 lebih tinggi berbanding tahun 2020.
"Pertambahan kadar kelahiran itu mencetuskan 'cabaran' untuk mencari nama yang unik," kata Ikea Norway.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !