Ikan 'lengat' jadi tarikan istimewa menjelang Aidilfitri

Bernama
Jun 2, 2019 14:40 MYT
Ikan lengat merupakan antara menu wajib yang akan dicari di pasar tani setelah pulang untuk beraya di kampung.
Ikan kembung rebus masin atau lebih dikenali sebagai ikan lengat di negeri-negeri utara Semenanjung mendapat tumpuan ramai pengunjung di Pasar Tani Pra Aidilfitri Tasek Gelugor anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Peniaga Lutfee Mohammad, 57, berkata ikan lengat jualannya menjadi tumpuan pengunjung khususnya mereka yang pulang ke kampung halaman untuk beraya, bagaimanapun penjualan ikan lengat kini tidak banyak seperti dahulu.
"Di kawasan ini, hanya ada tiga peniaga ikan lengat. Saya ingin mengesyorkan kepada orang ramai khususnya anak muda yang tidak tahu tentang ikan lengat supaya cuba beli dan rasa.
"Bagi kami, inilah makanan kegemaran orang zaman dahulu... Kini sudah tidak banyak penjualannya. Sayang sekiranya satu hari nanti generasi muda tidak mengetahui kewujudan dan tidak pernah merasai keenakan ikan lengat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lutfee yang sudah berkecimpung selama 12 tahun dalam penjualan ikan lengat berkata ikan yang digunakan harus segar dan dicuci dengan bersih sebelum meneruskan proses memasak. Katanya, proses pembuatan ikan lengat mengambil masa selama lima jam.
Seorang pelanggan Maznah Ayub, 55, berkata ikan lengat merupakan antara menu wajib yang akan dicarinya di pasar tani setelah pulang untuk beraya di kampung.
"Saya memang akan cari ikan lengat ini setiap kali balik ke kampung. Di ibu kota, sukar untuk saya dapatkan ikan lengat ini... Kalau ada pun, rasanya tidak sama seperti di sini. Ikan lengat buatan pak cik Lutfee ini juga bersih dan sedap berbanding ikan lengat jualan orang lain," kata Maznah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata setiap pasar tani di seluruh negara mempunyai keunikan jualan tertentu yang sukar didapati di tempat-tempat lain.
Abdul Halim berkata Pasar Tani Pra Aidilfitri ini menawarkan harga barangan segar dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding dengan harga jualan di luar untuk membantu masyarakat mendapatkan barang keperluan raya dengan lebih berpatutan.
Pengarah FAMA Pulau Pinang Habibah Sulaiman berkata selain daripada Pasar Tani Pra Aidilfitri di Tasek Gelugor, masyarakat yang tinggal di bahagian pulau boleh mengunjungi Pasar Tani Pra Aidilfitri di Balik Pulau yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 4 Jun.
Habibah berkata FAMA menyasarkan kutipan jualan sebanyak lebih RM500,000 daripada 10,000 pengunjung yang hadir ke Pasar Tani Pra Aidilfitri Pulau Pinang tahun ini.
"Di Tasek Gelugor sahaja, kita menawarkan 110 tapak khemah yang menjual pelbagai barang-barang keperluan persediaan menyambut Aidilfitri untuk orang ramai," katanya.
-- BERNAMA
#FAMA #hidangan raya #hidangan tradisi #ikan kembung rebus masin #ikan lengat #tasek gelugor
;