Ikan kembong mahal: Ayam dan ikan kering pilihan utama pembeli

Bernama
Januari 7, 2017 18:02 MYT
Peniaga ikan kering, Mohamad Othman, 67, (kanan) menjual ikan kering kepada seorang pelanggan di Pasar Besar Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Kenaikan harga ikan kembong sehingga mencecah lebih RM12 sekilogram di sini hari ini menyebabkan ramai pengguna mula beralih kepada ayam, ikan kering dan bahan mentah lain yang lebih murah.
Ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini, seorang suri rumah Maznah Ismail, 40, berkata sejak harga ikan kembong naik daripada RM7 kepada RM12 sekilogram, dia kini lebih suka membeli ayam untuk dijadikan lauk-pauk bagi keluarganya.
"Saya beli juga ikan tetapi dalam jumlah yang sedikit dan membeli lebih banyak ayam kerana ia lebih murah dan disukai anak-anak," katanya.
Kamal Abdul Jalil, 52, pula berkata selain ayam, dia juga membeli ikan kering untuk mempelbagaikan hidangan di saat kenaikan harga ikan pada masa ini.
"Walaupun ikan mahal ketika ini, saya masih boleh mengurangkan beban dengan membuat pilihan lain membeli ikan kering atau ikan bilis untuk hidangan di rumah," katanya.
Peniaga ayam di pasar basah itu, Mohd Zahir Zainal Abidin, 62, berkata jualan ayamnya kian meningkat sejak awal bulan ini kesan daripada peningkatan harga ikan.
Katanya setiap hari dia perlu menyediakan 1,500 ayam daging untuk memenuhi permintaan pengguna berbanding 1,200 ekor sebelum ini.
"Walaupun harga ayam yang kami beli dari ladang naik daripada kebiasaan, kami masih mampu menjualnya pada harga RM7.40 sekilogram dan ia lebih murah jika dibandingkan harga ikan mencecah RM12 hingga RM14 sekilogram.
"Sembilan belas pekerja saya sentiasa sibuk dengan tempahan pelanggan yang tidak putus-putus membeli ayam di sini," katanya.
Sambutan sebegitu juga diterima peniaga ikan kering, Mohamad Othman, 67, di mana gerainya turut menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke pasar basah terbabit.
"Orang ramai tidak putus-putus datang membeli ikan kering di kedai saya dan antara yang diminati pengguna ialah ikan tamban masin, ikan talang dan ikan bilis," katanya. -- Bernama
#Ayam #harga mahal #Ikan kembong #ikan kering
;