Ikan emas 'gergasi' ditemui, pihak berkuasa beri amaran jangan lepas ikan peliharaan sembarangan

Agensi
Julai 24, 2021 12:37 MYT
Pihak berkuasa bandar raya Burnsville menerusi Twitter berkongsi gambar yang menunjukkan beberapa ikan emas raksasa yang berjaya ditangkap. - City of Burnsville via AP
Sebuah bandar di Minnesota, Amerika Syarikat menggesa penduduk agar tidak melepaskan semula ikan peliharaan mereka sembarangan di sumber air semula jadi selepas menemui spesies ikan emas gergasi di sebuah tasik.
Ikan peliharaan boleh membesar dengan saiz luar biasa apabila dibebaskan ke habitat asal dan menyebabkan gangguan terhadap ekosistem.
Pihak berkuasa bandaraya Burnsville menerusi Twitter berkongsi gambar yang menunjukkan beberapa ikan emas raksasa yang berjaya ditangkap semasa tinjauan di Tasik Keller.
Situasi itu dikatakan akan menyumbang kepada penurunan kualiti air selain mengganggu sedimen dan hidupan laut.
"Tolong jangan lepaskan ikan emas anda ke dalam kolam atau tasik," itu yang dimuat naik mereka di Twitter.
Di Minnesota, ikan emas adalah spesies invasif, bermaksud ia tidak boleh dilepaskan ke kawasan perairan.
Seekor ikan emas peliharaan kebiasaannya mempunyai saiz kira-kira 5 sentimeter panjang.
Tetapi apabila dilepaskan ke sungai atau tasik, pegawai hidupan liar memaklumkan ia boleh membesar jauh lebih daripada itu dan membiak dengan cepat, seterusnya mendominasi spesies ikan asal.
Dalam amarannya, pihak berkuasa menasihatkan pemilik haiwan peliharaan untuk mempertimbangkan pilihan lain jika tidak mampu lagi memelihara ikan tersebut.
Masalah yang sama juga dihadapi di bandar berdekatan iaitu Carver County, di mana 50,000 ekor ikan emas dikeluarkan dari sebatang anak sungai pada Oktober tahun lalu.
Ia sebahagian daripada rancangan tiga tahun untuk mengkaji dan menguruskan spesies tersebut.
Tetapi AS bukan satu-satunya negara yang berdepan masalah ekosistem akibat ikan emas.
Pada tahun 2017, dewan bandar raya Munich di Jerman memaklumkan jumlah ikan emas yang luar biasa menyebabkan ikan lain tidak mendapat makanan yang mencukupi.
Situasi menjadi sangat teruk sehingga pihak berkuasa memberi amaran akan mendenda sesiapa sahaja yang melepaskan ikan peliharaan mereka ke tasik dan sungai.
Ikan emas gergasi juga telah dijumpai di perairan United Kingdom. Pada tahun 2010, seorang pemancing menangkap ikan emas sebesar 2.2kg dari sebuah tasik di Dorset.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#ikan emas #ikan peliharaan #Amerika Syarikat #Minnesota #spesies #Sungai #tasik
;