Ijazah kedoktoran palsu: 'Jangan taksub gelaran doktor'
Madiha Abdullah
Oktober 1, 2016 14:44 MYT
Oktober 1, 2016 14:44 MYT
PERJALANAN untuk bergelar seorang doktor bukanlah mudah.
Tidak kira doktor perubatan ataupun gelaran doktor daripada pengajian di peringkat doktor falsafah, pengorbanan yang dituntut bukan sedikit.
Namun ia bukanlah tiket untuk menyanjung dan memuliakan gelaran tersebut secara membuta tuli.
Itu pandangan yang diluahkan oleh seorang pengguna Facebook, Azizul Azli Ahmad.
Dia yang merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi, dan juga konsultan kewangan, berkongsi pendapat tentang ketaksuban sesetengah golongan masyarakat yang mahu digelar Doktor.
Ketaksuban itulah yang akhirnya membawa kepada hilangnya nilai integriti, apabila ada yang sewenang-wenangnya membeli dan menjual gelaran tersebut, tanpa perlu melalui proses pembelajaran seperti yang sepatutnya.
Anggota masyarakat pula secara tidak sedar menjadi mangsa apabila dengan mudah meletakkan kepercayaan kepada mereka yang mempunyai gelaran ini.
Hal ini berbeza dengan di Barat, apabila gelaran doktor sangat jarang diguna pakai.
Sebaliknya ia hanya digunakan dalam urusan rasmi, di mana gelaran dan kelulusan akan diletakkan di penghujung nama.
Tanpa menafikan ada juga dalam kalangan 'pembeli' gelaran ini yang memberi sumbangan kepada masyarakat, Azizul meminta masyarakat berbalik kepada prinsip dalam agama.
"Agama tidak menghalalkan penipuan untuk apa tujuan (termasuk) baik sekali pun.
"Ilmu yang kita ada untuk kita kongsikan bersama bukan minta bayaran tak masuk akal," tulisnya.
Dalam masa yang sama, Azizul juga berharap orang ramai tidak melatah dan tidak meluahkan kritikan menggunakan bahasa yang tidak sopan.
Apa yang penting katanya, adalah iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku.